Subsidi diesel: Pengusaha bot nelayan laut dalam perlu bertolak ansur

Subsidi diesel: Pengusaha bot nelayan laut dalam perlu bertolak ansur

Pengusaha bot nelayan laut dalam dan pukat tunda perlu menunjukkan sikap lebih bertolak ansur berhubung keputusan kerajaan memansuhkan pemberian subsidi super diesel kepada mereka, kata Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tawau, Hasan Timbasal.

Pengusaha bot nelayan laut dalam dan pukat tunda perlu menunjukkan sikap lebih bertolak ansur berhubung keputusan kerajaan memansuhkan pemberian subsidi super diesel kepada mereka, kata Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tawau, Hasan Timbasal.

Beliau berkata walaupun kerajaan memansuhkan pemberian subsidi super diesel berkenaan namun mereka masih menikmati jumlah subsidi yang jauh lebih besar berbanding nelayan pantai yang tidak terlibat dalam pemansuhan berkenaan.

“Biasanya, setiap bot nelayan laut dalam atau pukat tunda menggunakan 50,000 hingga 60,000 liter diesel sebulan.

Berdasarkan harga RM1.80 diesel yang mereka perlu bayar sekarang, mereka sebenarnya masih menikmati subsidi lebih RM40,000 setiap bot untuk setiap bulan.

“Jika kerajaan tidak memberi subsidi diesel, nelayan laut dalam atau nelayan pukat tunda sebenarnya perlu membawar RM2.60 sen diesel seliter berdasarkan harga bahan api itu di pasaran,” katanya kepada Bernama.

Hasan berkata demikian ketika mengulas mengenai langkah nelayan laut dalam yang mengadakan mogok sebagai membantah keputusan kerajaan memansuhkan pemberian subsidi super diesel kepada mereka.

Semalam, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Noh Omar berkata walaupun kerajaan telah memansuhkan subsidi super diesel kepada nelayan laut dalam, mereka masih menikmati pelbagai insentif dan galakan yang lebih baik berbanding nelayan pantai.

Hasan berkata berbanding dengan nelayan pantai, sebuah bot kumpulan nelayan berkenaan menggunakan purata sehingga 60 liter diesel sehari dan cuma menikmati subsidi sebanyak RM2,430 sebulan berdasarkan harga diesel bersubsidi sebanyak RM1.25 sen yang mereka nikmati sekarang.

Sehubungan itu, beliau berkata sepatutnya nelayan laut dalam lebih peka dan memahami keadaan semasa berikutan beban subsidi diesel yang perlu ditanggung kian meningkat.

– Bernama