Lelaki Pakistan dikehendaki berhubung kes bunuh pengurus kedai

 

Polis sedang mencari seorang lelaki dipercayai warga Pakistan berhubung kes pembunuhan seorang pengurus sebuah kedai jam tangan yang ditemui mati dengan keadaan lehernya dijerut di rumahnya di Pangsapuri Pandan Utama, 5 Jun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata lelaki itu merupakan orang terakhir dilihat bersama mangsa, Ng Kim Loong, 45, di hadapan Pavillion, Bukit Bintang pada 10 malam, 4 Jun lepas.

Pada sidang media di sini hari ini, beliau berkata polis kini berusaha mengenal pasti identiti sebenar suspek kerana hanya memperoleh gambarnya sahaja.

Ng ditemui mati dalam keadaan terlentang di atas katil bilik tidurnya dengan tangan dan kakinya diikat dengan tali langsir dan lehernya dijerut dengan baju kira-kira pukul 8.57 pagi, 5 Jun lepas.

Mohd Adnan berkata berdasarkan maklumat, warga Pakistan itu juga pernah dilihat mengunjungi rumah mangsa.

“Sehubungan itu saya berharap mereka yang mempunyai maklumat mengenai suspek agar melaporkannya kepada pihak polis,” katanya.

Katanya polis sedang menyiasat sama ada kes tersebut bermotifkan dendam atau cemburu.

– Bernama