PGSM kecam kenyataan layan suami seperti ‘pelacur kelas atasan’

PGSM kecam kenyataan layan suami seperti ‘pelacur kelas atasan’

Timbalan Presiden PGSM, Musa Awang berkata tugas isteri melayan suami adalah suatu ibadah yang diberi ganjaran pahala dari Allah SWT walaupun suami diwajibkan memberikan nafkah kepada isteri dalam bentuk tempat tinggal, makan minum, pakaian atau wang ringgit.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengecam kenyataan yang menyamakan tugas isteri melayan suami seperti tugas seorang pelacur melayan pelanggan kerana isteri bukanlah seorang pekerja seks bagi suami.

Ia berikutan rentetan kenyataan Naib Presiden Kelab Isteri Taat, Dr. Rohaya Mohamed yang mengingatkan golongan isteri supaya patuh dan melayan suami seperti ’pelacur kelas atasan’.

Timbalan Presiden PGSM, Musa Awang berkata tugas isteri melayan suami adalah suatu ibadah yang diberi ganjaran pahala dari Allah SWT  walaupun suami diwajibkan memberikan nafkah kepada isteri dalam bentuk tempat tinggal, makan minum, pakaian atau wang ringgit.

Menurutnya, ia bukanlah sebagai ganti kepada khidmat seks yang isteri berikan sebaliknya ia adalah suatu amanah dan tanggungjawab kerohanian yang telah ditetapkan oleh agama, yang juga diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.

“Kenyataan dari seorang wanita yang menjatuhkan imej wanita, yang tidak sepatutnya keluar dari seorang yang berpendidikan, walaupun mungkin niatnya baik supaya isteri mentaati suami.

Malah, kenyataan yang ”biadap dan ”celupar” kerana meletakkan diri
seorang isteri serendah seorang pelacur,” katanya menerusi satu kenyataan media baru-baru ini.

Musa berkata, bukan menjadi kelaziman masyarakat Melayu Islam untuk melanggan pelacur, cuma hanya segelintir sahaja yang berbuat demikian.

Menurutnya, tidak semua lelaki tahu bagaimana servis seorang pelacur kelas atasan.

“Jadi kenyataan tersebut menggambarkan seolah-olah semula lelaki Melayu Islam melanggan pelacur,” katanya.

Sehubungan itu, Musa berkata pihaknya mengingatkan kepada semua wanita supaya tidak menyertai kelab tersebut kerana dari awal lagi telah menampakkan kecelaruan halatuju dan matlamatnya, serta merendah-rendahkan martabat seorang wanita.

Menurutnya, penubuhan kelab seumpama ini tidak akan membantu dalam menyelesaikan masalah perceraian yang dikatakan berlaku setiap 15 minit atau anak luar nikah yang lahir setiap 17 minit.

“Kelab seperti ini sepatutnya melebihkan usaha yang padu ke arah melahirkan suami, bapa, anak lelaki dan muslimin mithali sebagaimana yang dipandu oleh Islam,” katanya.