Kenyataan: Paip pecah di Jalan Teluk Kapas, kekurangan air dijangka

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) ingin melaporkan bahawa Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Hijau telah diaktifkan di SYABAS Wilayah Klang pada jam 5.00 petang hari ini (10 Jun 2011) berikutan kejadian paip pecah di lokasi Jalan Teluk Kapas, Rantau Panjang. Paip yang pecah adalah dari jenis Mild Steel berukuran 750MM yang menyalurkan bekalan air dari Bukit Rajah ke kawasan Klang.

Berikutan kejadian tersebut, dianggarkan kira-kira 3,500 akaun terlibat dan tindakan mengaktifkan ERP Kod Hijau adalah untuk memastikan agar kawasan-kawasan terlibat mendapat bantuan dan usaha mengatasi masalah bekalan air kepada pengguna ini dapat dilakukan dengan segera.

Antara kawasan terlibat yang mengalami gangguan air tidak berjadual ini adalah seperti berikut:

1) Bandar Sultan Sulaiman
2) Northport
3) Rantau Panjang

Setakat laporan ini dikeluarkan, kerja-kerja membaikpulih paip pecah masih sedangĀ  dilaksanakan oleh pihak SYABAS menerusi kontraktor yang telah dilantik. Pihak SYABAS juga telah memaklumkan mengenai kejadian paip pecah dan gangguan bekalan air yang berlaku kepada pihak industri dan perkilangan di kawasan Northport, Pelabuhan Klang
melalui Unit Pelanggan Industri (ICU) PUSPEL

Pihak SYABAS telah menyediakan sebanyak lapan (8) buah lori tangki dalam keadaan tunggu sedia sekiranya diperlukan. Walau bagaimanapun, pihak SYABAS akan memaklumkan perkembangan gangguan bekalan air tidak berjadual ini dari semasa ke semasa.

Para pengguna di kawasan terlibat dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh pembaikan paip tersebut. Mereka yang memerlukan bantuan bekalan air menerusi lori tangki ataupun ingin mendapat maklumat lanjut berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini disaran agar menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) di talian bebas tol, 1-800-88-5252.