UTeM menjadi IPT pertama di Melaka bebas asap rokok

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), muncul institusi pengajian tinggi pertama di Melaka yang bebas daripada asap rokok.

Naib Canselor UTeM Dr Ahmad Yusoff Hassan berkata pencapaian itu hasil komitmen dan kerjasama daripada seluruh warga universiti tersebut yang mengutamakan aspek gaya hidup sihat dan persekitaran bebas asap rokok.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan mengiktiraf UTeM sebagai IPT pertama di Melaka sebagai premis bebas asap rokok sempena sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Kebangsaan 2011 yang diadakan di Bandar Hilir di sini, pada Ahad lepas, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Yusoff berkata UTeM sentiasa bergerak seiringan bersama kerajaan Melaka untuk mencapai status negeri bebas asap rokok.

Beliau berkata universiti itu telah melaksanakan beberapa aktiviti bagi merealisasikan kejayaan itu, antaranya mengadakan kempen kesedaran dan kefahaman  secara menyeluruh mengenai bahaya merokok dan hak-hak orang yang tidak merokok.

Turut dilaksanakan ialah program motivasi terhadap perokok yang ingin berhenti merokok dengan mewujudkan klinik berhenti merokok dalam kampus, menjalankan program dorongan dan galakan kepada warga UTeM yang ingin berhenti
merokok.

Beliau berkata UTeM juga melaksanakan proses kajian dan memberi maklumat mengenai kawasan yang dicemari asap rokok di kawasan kampus.

Proses penguatkuasaan secara menyeluruh oleh penguatkuasa Jabatan Kesihatan dijalankan di kawasan yang didapati masih lagi tercemar dengan asap rokok, katanya.

Ahad lepas, Menteri Kesihatan Seri Liow Tiong Lai mengisytiharkan lima kawasan seluas 338 hektar di Melaka sebagai zon bebas asap rokok berkuat kuasa mulai 15 Jun ini.

Kawasan tersebut ialah bandar warisan dunia Melaka, Melaka Raya, Melaka International Trade Centre (MITC), pusat bandar Alor Gajah dan pusat bandar Jasin.

Sesiapa yang didapati menghisap rokok di zon bebas asap rokok itu boleh dikenakan kompaun yang lazimnya sebanyak RM300 walaupun kompaun maksimum adalah RM5,000.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE