HELPER ingin meningkatkan mutu pembantu rumah Indonesia

Saba Islamic Domestic Help Advisory (SAIDHA) dengan kerjasama Kedutaan Indonesia dan Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA) hari ini melancarkan sistem Perlindungan, Pemantauan dan Kebajikan Hal Ehwal Pembantu Rumah Indonesia (HELPER) bagi membaiki mutu kerja dan tahap perkhidmatan pembantu rumah dari Indonesia.

Pengerusi SAIDHA Sabariah Abdullah berkata program HELPER akan merangkumi latihan untuk amah, sesi penerangan untuk majikan, aktiviti pemantauan keganasan dan sistem kewangan berdasarkan sistem perlindungan insurans dan perbankan bagi memastikan bayaran gaji pembantu rumah yang konsisten.

“Program ini dapat memantau kesejahteraan dan keselamatan pembantu rumah melalui aktiviti pemantauan keganasan serta mengambil langkah-langkah perlu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti kes penderaan dan
penganiayaan,” katanya pada sidang akhbar di Kedutaan Indonesia, di sini.

Turut hadir Timbalan Duta Indonesia ke Malaysia Mulya Wirana dan Atase Ketenagakerjaan kedutaan itu, Agus Triyanto A.S. Sabariah berkata melalui rangkaian badan bukan kerajaan (NGO) seluruh negara, HELPER akan menyediakan hotline bagi membolehkan orang ramai membuat aduan jika terdapat keraguan atau merasakan seseorang pembantu rumah sedang didera majikan.

Katanya, program HELPER adalah percuma kepada semua pembantu rumah Indonesia yang berkhidmat di Malaysia manakala bagi majikan yang ingin menghadiri seminar akan disubsidi oleh MAMA.

Sementara itu, Agus berkata program kerjasama itu diharap dapat menjalin hubungan baik antara kedua-dua negara di samping tidak berlaku lagi kes penderaan fizikal, seksual dan “bahasa kurang manis” terhadap pembantu rumah.

MAMA yang ditubuh awal bulan ini sedang berusaha menambah bilangan ahli hingga 200,000.

Yuran keahlian ialah RM50 setahun.

– Bernama