Ibu pejabat PKR di Merchant Square dilelong bank

Ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Merchant Square Tropicana di Petaling Jaya yang disewa, akan dilelong pada hamis ini kerana pemilik premis itu gagal menjelaskan pinjaman banknya.

PKR kini menyewa dua buah unit di bangunan lima tingkat itu dengan harga RM20,000 sebulan tetapi pemilik hartanah tersebut gagal untuk menjelaskan pinjaman bank, menyebabkan bangunan itu akan dilelong.

Lelongan itu akan dijalankan di pejabat pelelong di Brickfields di sini dengan harga RM6.1 juta.

Bagaimanapun, setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata ia akan menimbulkan masalah kepada parti itu kerana perjanjian sewa selama enam tahun telah ditandatangani dan akan tamat lebih tiga tahun lagi.

“Ini bukan masalah kepada kita. Kita adalah penyewa dan kita sewa. Jika bank mahu melelong hartanah itu dan pemilik baru mengambil alih, mereka masih perlu mematuhi perjanjian,” katanya memberitahu Bernama ketika dihubungi.

Saifuddin berkata PKR tidak menolak kemungkinan membida hartanah itu jika harganya munasabah tetapi enggan memberitahu harga yang diharapkan.

“Harga lelongan yang disebut ialah RM6.1 juta, yang dianggap tinggi. Bagaimanapun, dalam sebarang lelongan komersil, kita akan tunggu sehingga harga itu turun.

Jika harga itu munasabah, kita akan beli,” kata beliau. PKR menyewa bangunan itu di Merchant Square Tropicana sejak 2008 yang sebelum itu di Brickfields.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE