Polis Selangor dapat mesin pencetak mudah alih

Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kini dilengkapkan dengan kemudahan mesin pencetak mudah alih yang mampu mempercepatkan proses siasatan.

Ketua Polis Selangor Tun Hisan Tun Hamzah berkata bagi fasa pertama, sebanyak 250 unit pencetak model HP Officejet 100 Mobile Printer diagihkan kepada pegawai-pegawai penyiasatan di daerah Selangor.

Ia bertujuan memudahkan kerja-kerja mengambil keterangan daripada mangsa dan saksi jenayah, di mana keterangan dapat terus dicetak dan ditandatangani oleh pemberi keterangan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah tanpa perlu ke balai, katanya.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 245 unit akan diserahkan kepada Pegawai Penyiasatan Jenayah Daerah, manakala lima lagi unit kepada Pegawai Penyiasatan Jenayah Narkotik di IPK Selangor.

Pencetak mudah alih tanpa wayar itu menggunakan aplikasi ‘bluetooth’ yang disambungkan ke komputer riba dan mudah dibawa ke mana sahaja.

– Bernama