DBKL nafi beri lesen penjaja kepada warga asing

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan dakwaan bahawa pihaknya mengeluarkan lesen penjaja kepada warga asing di negara ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Ahmad Fuad Ismail berkata persepsi negatif itu berpunca daripada kecenderungan warga tempatan menyewakan lesen menjaja kepada warga asing.

Menurutnya, sikap segelintir warga tempatan di negara ini dikatakan tidak berminat untuk bekerja dalam sektor penjajaan kerana mendakwa tempoh waktu kerja yang panjang serta pulangan yang rendah, mendorong warga asing merebut peluang berkenaan.

“DBKL sentiasa mengambil tindakan dari semasa ke semasa mengenai perkara ini. Walaupun arahan demi arahan mengenai kehadiran warga asing diberikan, namun nampaknya ia tetap berlaku. Warga-warga asing ini dibayar untuk berada di situ.

Lebih menghairankan, ketika operasi dilakukan, penyewa asal turut berada di tapak gerainya tetapi mereka tidak berniaga. Apa yang berlaku ini banyak menjurus kepada sikap penjaja tersebut,” katanya ketika ditemuramah dalam
Program Kerusi Panas terbitan Bernama Radio24.

Dalam pada itu, Ahmad Fuad juga berkata DBKL masih mempunyai lebih 800,000 saman tertunggak kerana kesalahan meletak kenderaan dan jumlah ini merupakan suatu angka yang tinggi.

– Bernama