Pembantu rumah Indonesia mati didera majikan

Pembantu rumah Indonesia mati didera majikan

Seorang pembantu rumah wanita warga asing meninggal dunia pagi semalam dengan kesan calar di bahagian belakang badannya dipercayai didera oleh majikannya.

Seorang pembantu rumah wanita warga asing meninggal dunia pagi semalam dengan kesan calar di bahagian belakang badannya dipercayai didera oleh majikannya.

Mangsa berumur 26 tahun dan berasal dari Indonesia dibawa oleh majikannya, pasangan suami isteri berumur 50-an dari Taman Sea Park di sini ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kira-kira pukul 7.50 pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor (SAC) Mohd Adnan Abdullah berkata  mangsa disahkan meninggal dunia setibanya di PPUM.

“Laporan perubatan mengesahkan bahawa kematian mangsa meragukan dan  mangsa turut cedera di bahagian dahi dan lengan dipercayai di dera. Terdapat juga cederaan lama pada badan mangsa,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata ekoran kejadian itu, polis telah menahan pasangan tersebut selepas mereka hadir ke Balai Polis Sea Park untuk memberi keterangan, kira-kira pukul 3 petang.

Katanya pembantu rumah itu telah bekerja dengan majikannya sejak Disember 2008.

Mohd Adnan berkata pasangan itu kini ditahan reman sehingga 11 Jun bermula hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7956 2222  atau balai polis berhampiran.

– Bernama