Bebas tempurung! Memperkenalkan kolum baru, kembara@backpacker

Bebas tempurung! Memperkenalkan kolum baru, kembara@backpacker

Melancong sering diertikan dengan membeli-belah, menginap di hotel mewah dan sebagainya. Pengertian ini terbuku di dalam minda kebanyakan orang kita sehingga membataskan mereka untuk keluar melihat dunia.

Image by nirats

Salam hormat dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Komunitikini kerana memberi ruang kepada saya untuk berkongsi serba sedikit pengalaman tentang dunia traveling.

Untuk kolum kembara@bacpacker ini, selain menampilkan catatan perjalanan yang dipenuhi dengan informasi seperti bajet, cadangan tempat-tempat menarik, tip-tip untuk mengembara, ulasan hotel-hotel bajet atau rumah tumpangan, saya juga akan cuba menampilkan segala hal berkaitan pelancongan atau pengembaraan seperti tawaran pakej, ulasan filem dan buku, aktiviti terkini dunia pelancongan negara dan sebagainya.

Saya tidaklah mempunyai ilmu yang luas tentang dunia traveling, masih berjinak-jinak juga sebenarnya. Dunia ini terlalu luas untuk diteroka dan agak mustahil di sepanjang hayat kita untuk menakluk kesemuanya.

Namun dikesempatan yang ada, saya akan cuba berkongsi pengalaman dengan anda tentang dunia pengembaraan saya.

Rhinos on the Serengeti / Image by Kriss Szkurlatowski

Istilah ‘melancong’

Melancong sering diertikan dengan berkunjung ke sesuatu tempat untuk melawat, menenangkan fikiran, membeli-belah, menginap di hotel mewah dan sebagainya.

Pengertian ini terbuku di dalam minda kebanyakan orang kita sehingga membataskan mereka untuk keluar melihat dunia.

Walhal, melancong sama sahaja dengan mengembara, berkelana atau bermusafir yang membawa maksud kepada kebanyakan kita juga sebagai pelancongan yang tidak mengeluarkan kos yang tinggi.

See also  AirAsia resumes Vientiane route, connects all Asean nations

Jelas di sini bahawa bajet menjadi penghalang utama masyarakat kita untuk travel. Tak perlu pun mengeluarkan bajet yang banyak untuk melancong, tak perlu pun merentas sempadan untuk melancong.

Namun disebabkan perkataan ‘melancong’ itu yang disalah ertikan sebagai elegan atau eksklusif, maka ramai masyarakat kita tidak berani untuk keluar meneroka tempat asing.

Kenapa perlu saya mengulas dahulu perkataan ‘melancong’ ini dalam bab pertama untuk artikel pertama saya?

Ini kerana sesebuah perkataan memainkan peranan dalam penulisan. Ia boleh memberi impak yang walau pun tidak besar, tetapi tetap meninggalkan kesan.

Saya tidak mahu disebabkan perkataan ‘melancong’ ini yang terpampang di artikel saya, maka orang di luar sana enggan membacanya sedangkan kewujudan ruangan ini adalah bertujuan untuk mengalakkan masyarakat kita khususnya untuk keluar ‘melancong’.

Taj Mahal : Grunge / Image by sundesigns

Pengertian ‘Travel’

Maka dengan itu, untuk artikel saya, selain menggunakan perkataan ‘melancong’ saya akan menyelang-nyelikan juga dengan perkataan ‘travel’.

Travel adalah dari perkataan Bahasa Inggeris tetapi membawa maksud yang lebih meluas. Ia merangkumi perkataan-perkataan yang telah saya nyatakan sebelum ini iaitu mengembara, berkelana dan bermusafir.

See also  Malaysia-Cambodia direct flight signals strong bilateral ties

Bukan niat saya untuk menghapuskan perkataan ‘melancong’ dari kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, dan bukan niat saya untuk merojakkan bahasa kita. Cuma untuk mengubah persepsi masyarakat kita tentang dunia pelancongan.

Apa salahnya ‘melancong’ sehingga saya begitu menekankan tentang penggunaan perkataan ini dalam artikel saya? Ya, ‘melancong’ tidak bersalah sama sekali!

Yang bersalah adalah kita kerana mempunyai tanggapan tidak tepat terhadap perkataan tersebut.

Dan tujuan saya menggunakan perkataan lain untuk terbit bersama dengan ‘melancong’ bukan pula sebagai ‘hukuman’ ke atas perkataan yang saya anggap keramat itu, cuma untuk memperbetulkan semula tanggapan masyarakat kita yang masih menganggap melancong hanya untuk orang berada.

Bagi saya, artikel berkenaan pelancongan perlu ditulis dengan santai, lebih longgar dan tidak terlalu ketat bertepatan dengan konsep pelancongan itu sendiri iaitu bersantai. Dan pemilihan perkataan ‘travel’ untuk artikel saya dikira lebih santai, lebih mesra dan menepati cita rasa masyarakat kita.

Jadi tidak kiralah apa perkataan yang diguna sekalipun, ia tetap membawa maksud yang sama kerana yang penting objektifnya tercapai.

*Siri kedua bersambung esok