Terengganu berkembara dengan mat rempit

Terengganu berkembara dengan mat rempit

Kerajaan negeri Terengganu dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan mengadakan Program Kembara Belia Terengganu 2011 selama empat hari bermula 15 Jun depan dalam usaha untuk mengatasi gejala rempit di negeri ini.

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan mengadakan Program Kembara Belia Terengganu 2011 selama empat hari bermula 15 Jun depan dalam usaha untuk mengatasi gejala rempit di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Terengganu Rozi Mamat berkata, golongan tersebut wajar didekati dengan cara yang bijak tanpa menyebabkan mereka terjebak dan tercemar dengan anasir-anasir jahat.

“Tujuan program ini adalah untuk mengawal kegiatan lumba haram dan mengubah mereka dengan menyediakan ruang alternatif untuk mereka mempamerkan kebolehan dalam aktiviti permotoran dengan satu program kemasyarakatan selain menyediakan peluang ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan cek UMW Penzoil kepada UiTM sebagai sumbangan untuk menjayakan program itu.

See also  Sunway Uni hosts Times Higher Education Asia Summit

Sementara itu Pengurus Besar UMW Penzoil Distributors Sdn Bhd, Mohd Ruslan Abdul Ghani, selaku penaja utama program itu berkata Program Kembara Belia ini melibatkan 200 buah motosikal yang akan mengelilingi seluruh negeri Terengganu dengan jarak 800 km.

Program itu akan melibatkan 300 belia yang terdiri daripada mahasiswa UiTM sendiri selain turut disertai oleh pelajar dari Institut Pengajian Tinggi (IPT) lain di negeri ini serta belia dari kalangan orang kelainan upaya (OKU).