Penduduk Kampung Sungai Miak sedia berunding

GUA MUSANG – Penduduk yang terlibat dengan pengambilan tanah oleh kerajaan negeri di Kampung Sungai Miak di sini sedia berbincang dengan kerajaan Kelantan dengan syarat kerja pembersihan tanah dihentikan.

Wakil mereka Tuan Ibrahim Tuan Soh berkata lebih 50 penduduk yang terbabit dalam perkara itu kini menunggu kedatangan wakil kerajaan Kelantan bagi membincangkan isu tersebut.

“Kita bukannya apa, tetapi apabila ada pemimpin kerajaan negeri datang boleh berbincang secara baik untuk mencari penyelesaian mengenai tanah penduduk yang diambil balik hingga kami menanggung kerugian besar,” katanya kepada Bernama, di sini semalam.

Beliau berkata jika tidak ada tindakan diambil kerajaan negeri dalam masa terdekat, mereka akan meneruskan demonstrasi bagi membantah pengambilan kira-kira 40 hektar tanah tersebut.

Seorang penduduk, Mohd Nor Ab Rahman berkata mereka juga berhasrat menuntut ganti rugi atas kemusnahan tanaman seperti getah berikutan kerja pembersihan tanah tersebut.

Isu itu berterusan sejak setahun lepas apabila kerajaan Kelantan mengambil semula tanah penduduk terbabit dan menyerahkannya kepada sebuah syarikat untuk dibangunkan sebagai ladang kelapa sawit.

Penduduk juga meluahkan rasa tidak puas hati terhadap syarikat terbabit yang meneruskan kerja membersihkan tanah sekalipun mereka meminta kegiatan tersebut ditangguhkan sementara menunggu jawapan kerajaan negeri.