TM Unifi: Penduduk terpaksa tanggung kos RM250 sebulan

TM Unifi: Penduduk terpaksa tanggung kos RM250 sebulan

Penduduk mendakwa tiada sambungan internet dan telah membuat aduan kepada juruteknik TM dan pihak pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengenalpasti punca kerosakan.

Lebih 5 penghuni kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Lembah Pantai terpaksa menanggung bil bulanan Telekom Malaysia (TM) Unifi sebanyak RM150 hingga RM250 sejak dua bulan lalu.

Penduduk mendakwa tiada sambungan internet dan telah membuat aduan kepada juruteknik TM dan pihak pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengenalpasti punca kerosakan.

Salah seorang wakil penduduk, Naim Zaini, 22, berkata setelah diperiksa jurutera TM mendapati kabel di dalam bilik telah dicuri dan memaklumkan kepada beliau supaya membuat laporan kepada pihak pengurusan DBKL PPR untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya apabila laporan dibuat di pejabat pengurusan DBKL PPR Pantai Ria, beliau mendapati ramai pelanggan TM Unifi di kawasan itu menghadapi masalah yang sama.

“Setelah hampir sebulan menunggu, tiada tindakan susulan dilakukan oleh DBKL dan saya dimaklumkan oleh salah

seorang pelanggan TM memberitahu pihak DBKL akan menyelesaikan masalah ini pada awal tahun depan.

“Pihak DBKL memberitahu kos membeli kabel ini mahal dan terpaksa ditempah di luar negara, bagaimana dengan kami terpaksa membayar setiap bulan mengikut kontrak selama dua tahun,” katanya.

Lantaran itu, penduduk telah membuat tiga laporan polis di balai polis Travers, Brickfields.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar ditemui selepas mengadakan lawatan memberitahu pihaknya akan menulis surat kepada pihak TM supaya meminta tidak mengenakan bayaran bulanan kepada penduduk selagi tiada sambungan.

Menurutnya, sepatutnya pihak DBKL dan TM perlu menyelesaikan perkara ini bersama dan tidak lepas tangan.

“Perkara ini perlu diselesaikan dengan segera kerana isu utamanya melibatkan penduduk PPR, mereka tidak seharusnya dibebani dengan masalah ini,” katanya.