Kes simbah cat and gantung babi: Polis cari seorang lelaki

Kes simbah cat and gantung babi: Polis cari seorang lelaki

Polis Pulau Pinang sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes gerai cendol yang disimbah cat merah dan menggantung kepala babi di hadapan gerai di Masjid Lama Sungai Bakap di sini dua hari lalu.

Image by Kriss Szkurlatowski

 

Polis Pulau Pinang sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes sebuah gerai cendol yang disimbah cat merah dan menggantung kepala babi di hadapan gerai di Masjid Lama Sungai Bakap di sini dua hari lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Ayub Yakcop, berkata lelaki terbabit adalah pemanggil yang menghubungi peniaga cendol berkenaan dan memberi amaran agar beliau berhati-hati.

“Kita agak sukar untuk mencari lelaki terbabit kerana dia menghubungi peniaga itu dengan menggunakan telefon awam. Bagaimanapun polis sedang giat mengesannya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. Beliau berkata pihaknya juga telah mengambil keterangan daripada beberapa pihak termasuk peniaga terbabit dan siasatan awal mendapati peniaga cendol berkenaan tidak pernah berhutang dengan mana-mana pihak termasuk ah long.

Sementara itu Pergerakan Pemuda Umno Nibong Tebal hari ini membuat laporan polis berhubung satu artikel yang disiarkan dalam sebuah laman blog yang didakwa berniat jahat kerana menuduh Umno mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan. Naib Pemudanya Mohd Noor Azman Abdul Jalil berkata dalam satu artikel yang disiarkan dalam laman blog “Perjuang Pro Demokrasi”, penulis blog itu telah membuat dakwaan palsu itu.

“Kami membuat laporan polis ekoran penulis artikel itu dilihat berniat jahat dan menuduh Umno mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan. Pemuda Umno juga rasa kesal dengan penulis berkenaan dan berharap pihak polis dapat mengambil tindakan terhadapnya,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Bakap di sini semalam.