Kek lapis terpanjang di Malaysia

Kek lapis terpanjang di Malaysia

Kek lapis Sarawak sepanjang 30.8 meter sempena Hari Ulang Tahun Radio Televisyen Malaysia (RTM) ke-65 hari ini dicatatkan dalam Malaysia Book Of Records (MBR) sebagai kek lapis terpanjang di Malaysia setakat ini.

KUALA LUMPUR – Kek lapis Sarawak sepanjang 30.8 meter sempena Hari Ulang Tahun Radio Televisyen Malaysia (RTM) ke-65 hari ini dicatatkan dalam Malaysia Book Of Records (MBR) sebagai kek lapis terpanjang di Malaysia setakat ini.

Upacara pelancaran kek lapis yang dipamerkan di Kompleks Kraftangan itu disempurnakan oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Unit Pembangunan Usahawan) dan Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber Sarawak Mohd Naroden Majais.

Naroden berkata pembuatan kek seberat 2,500 kilogram itu disediakan di Kilang Rabiah Amit Cake House di kawasan Demak Laut, Sarawak, melibatkan 15 orang pengusaha terpilih yang bergabung tenaga menyiapkan kek tersebut dalam jangka masa 15 hari.

See also  AirAsia resumes Vientiane route, connects all Asean nations

“Kek yang berjumlah 200 acuan bersaiz 16″ x 8″ (40.6cm x 20.3cm) itu diterbangkan ke Kuala Lumpur pada 24 Mac dan penyantuman kek lapis Sarawak terpanjang dilakukan (pada hari Rabu),” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Memecah Rekod MBR: Kek Lapis Sarawak 65 Tahun RTM Terpanjang Sempena dengan Hari Ulang Tahun RTM ke-65 di Kompleks Kraftangan hari ini.

Beliau juga berkata sebanyak 30,000 biji telur, 1,500 kilogram mentega, 800 kilogram tepung dan 500 kilogram gula digunakan dengan kos pembuatan sejumlah RM76,000 bagi menghasilkan kes lapis ini dengan pelbagai corak yang unik.

“Tujuan utama program ini ialah untuk memperkenalkan produk-produk utama Sarawak kepada masyarakat di Semenanjung kerana ia merupakan tradisi warga Sarawak yang diwarisi secara turun-temurun dan kini ianya telah menjadi satu daya tarikan dan dihidangkan untuk majlis pertunangan dan perkahwinan,” katanya kepada pemberita.

See also  Langkawi International Airport receives prestigious ACI Award

Kek lapis tersebut akan dijual kepada orang ramai selama dua hari bermula hari ini dengan harga RM20 sekeping bagi yang bercorak dan RM15 sekeping bagi tidak bercorak.

“Kami menyasarkan hasil jualan sebanyak RM60,000 dan 10 peratus daripada hasil jualan tersebut akan disumbangkan kepada rumah anak-anak yatim di ibu negara,” katanya lagi.

Rekod kek lapis ini berjaya mengatasi rekod pada tahun lepas, iaitu sepanjang 21 meter dengan gabungan 20 pengusaha kek lapis di negeri itu.