Satu lagi makmal dadah pangsapuri mewah diserbu

Satu lagi makmal dadah pangsapuri mewah diserbu

Polis hari ini membongkar satu lagi sindiket memproses dadah yang menjadikan pangsapuri mewah sebagai makmal memproses heroin dalam satu serbuan melibatkan rampasan lebih 10 kilogram dadah jenis heroin bernilai lebih RM400,000, Isnin lepas.

Polis hari ini membongkar satu lagi sindiket memproses dadah yang menjadikan pangsapuri mewah sebagai makmal memproses heroin dalam satu serbuan melibatkan rampasan lebih 10 kilogram dadah jenis heroin bernilai lebih RM400,000, Isnin lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Wira Ayub Yaakob berkata bertindak atas risikan selama sebulan, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri menyerbu sebuah pangsapuri di Green Lane dan menahan dua lelaki berumur 31 dan 48 tahun ketika mereka sedang memproses dadah berkenaan dalam rumah itu.

Dalam serbuan pada kira-kira pukul 10 malam itu juga, polis merampas 71 gram serbuk dadah dipercayai jenis heroin, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas beberapa alat memproses dadah dan bahan kimia lain serta sebuah kereta dipercayai milik seorang lelaki terbabit.

Siasatan awal mendapati dadah itu diproses untuk pasaran tempatan dan tidak mempunyai kaitan dengan sindiket yang ditumpaskan sebelum ini, katanya.

Ayub berkata kedua-dua lelaki terbabit didapati mempunyai rekod jenayah dan ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya1952, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

Beliau berkata kegiatan memproses dadah di rumah dan pangsapuri mewah bertujuan mengaburi polis kerana sikap penduduk yang tidak pedulikan aktiviti jiran.

Polis sedang menyiasat lokasi pengedaran dadah itu dan meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat jika terdapat pergerakan individu yang mencurigakan di kawasan perumahan mereka.

– Penang