Jenayah ala filem Godfather: Gantung khinzir hadapan gerai cendol

Jenayah ala filem Godfather: Gantung khinzir hadapan gerai cendol

Polis Pulau Pinang sedang menyiasat kejadian sebuah gerai cendol berdekatan Masjid Lama Sungai Bakap di sini yang disimbah cat merah dengan kepala khinzir digantung di hadapan gerai berkenaan.

NIBONG TEBAL – Polis Pulau Pinang sedang menyiasat kejadian sebuah gerai cendol berdekatan Masjid Lama Sungai Bakap di sini yang disimbah cat merah dengan kepala khinzir digantung di hadapan gerai berkenaan. Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata, kejadian itu dipercayai berlaku awal hari Rabu dan disedari oleh sekumplan jemaah yang baru pulang selepas solat Subuh di masjid pada pukul 7 pagi.

“Polis percaya ia dilakukan sebelum waktu subuh,” katanya kepada pemberita semalam. Beliau berkata siasatan awal mendapati peniaga gerai berkenaan pernah menerima satu panggilan amaran dari seseorang pada Mac lepas. Pemanggil itu tidak menyatakan sebarang ugutan sebaliknya mahu peniagacendol berkenaan supaya berhati-hati dan polis tidak menolak kemungkinan kestersebut ada kaitan dengan kegiatan kongsi gelap, katanya.

Ayub meminta semua pihak supaya tidak mengaitkan kes itu dengan isu perkauman dan agama. “Saya menyeru kepada semua pihak agar tidak mengaitkan kes ini dengan isu sensitif kerana ianya membabitkan seorang individu sahaja,” katanya.

Beliau berkata polis tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak atau kumpulan yang terbabit dengan perbuatan seumpama itu dan meminta mana-mana peniaga yang menjadi mangsa agar segera membuat laporan polis. Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menakutkan secara Jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan.