Penggunaan pukat tunda oleh syarikat besar akan jejaskan sumber ikan Teluk Cowie

Penggunaan pukat tunda oleh syarikat besar akan jejaskan sumber ikan Teluk Cowie

Kerajaan akan mengkaji kesan kegiatan menangkap ikan menggunakan pukat tunda di kawasan perairan Tawau, khususnya Teluk Cowie, terhadap sumber perikanan di kawasan perairan berkenaan.

TAWAU – Kerajaan akan mengkaji kesan kegiatan menangkap ikan menggunakan pukat tunda di kawasan perairan Tawau, khususnya Teluk Cowie, terhadap sumber perikanan di kawasan perairan berkenaan. Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Yahya Hussin berkata pandangan semua pihak akan diambil kira dalam kajian berkenaan untuk dibincangkan di peringkat kerajaan.

“Jabatan Perikanan akan menilai dan memberi syor serta pandangan terhadap kewajaran sama ada operasi pukat tunda di kawasan Teluk Cowie masih (boleh) dibenarkan atau sebaliknya dengan mengambil kira pandangan semua pihak,” katanya ketika berucap pada majlis selepas meninjau aktiviti penanaman rumpai laut di Burs Point (sempadan Indonesia-Malaysia) dan melawat Pusat Kuarantin Jabatan Haiwan dan Perusahaan Ternak di Pulau Sebatik.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah turut meluangkan masa mengikuti operasi meninjau kegiatan bot pukat tunda dan pukat Ampas di kawasan perairan Tawau. Menurutnya langkah mengkaji aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tunda berkenaan wajar memandangkan kegiatan itu dikhuatiri boleh menjejaskan sumber ikan serta menjejaskan pendapatan nelayan tradisional pada masa akan datang.

See also  MYDIN boosts e-commerce with Zebra Tech's solution

Selain itu katanya, sejak 20 tahun lalu, kerajaan sudah membekukan pengeluaran lesen pukat tunda baru memandangkan jumlah lesen sedia ada sudah memadai selain menjaga kelestarian sumber laut. Beliau berkata agensi kerajaan khususnya Jabatan Perikanan juga akan terus memperkasakan penguatkuasaan Akta Perikanan 1985 termasuk meningkatkan keupayaan logistik dan anggotanya bagi memastikan sumber ikan Sabah terus terpelihara.

Pada masa ini terdapat kira-kira 800 buah bot pukat tunda di Sabah dengan 156 daripadanya beroperasi di Tawau. Bercakap kepada pemberita kemudian Yahya meminta lebih ramai penduduk Tawau menceburkan diri dalam aktiviti penanaman rumpai laut bagi memanfaatkan kesesuaian sesetengah kawasan perairan itu dengan tanaman berkenaan.

Katanya selama ini orang ramai melihat Semporna sebagai pengeluar rumpai laut yang terkenal namun didapati rumpai laut keluaran Tawau juga bermutu tinggi.

See also  SAM challenges approval of Penang Hill cable car project