Hasil durian negara RM1.3bil setahun, Cina pasaran terbaru

PETALING JAYA – Mulai Julai, buah durian tempatan akan dieksport ke negara China berikutan kebenaran rasmi daripada kerajaan China untuk menerima eksport “raja buah” itu, yang diperoleh Malaysia kira-kira dua minggu lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata kerajaan sejak bertahun lamanya berusaha untuk membawa durian Malaysia menembusi pasaran China namun tidak berjaya sehinggalah usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuahkan hasil.

“Perdana Menteri mencadangkan ketika lawatan ke China supaya dibawa durian dari negara ini untuk dirasai oleh pegawai tertinggi kerajaan China termasuk Perdana Menteri Wen Jiabao. Mereka begitu berminat dan tertarik selepas merasa durian kita dan kita mendapat surat rasmi daripada kerajaan China pada 11 Mei lepas,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang kuiz program televisyen “Agro Xplorasi” di Bandar Utama hari ini.

Noh berkata buah-buahan itu akan mula dieksport pada Julai sehingga September kerana ketika itu pengeluaran buah durian memuncak dengan banyaknya dan sesuai untuk dieksport.

Eksport buah durian ke Cina akan diuruskan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi pihak kementerian dan dijangka membabitkan jumlah yang amat besar. Ketua Pengarah FAMA Ahmad Ishak berkata ketika ini pengeluaran durian dalam negara adalah kira-kira 300,000 tan metrik dengan hasil kira-kira RM1.3 bilion setahun dan ia memang masih tidak mencukupi.

“Kita akan mengeksport isi durian yang sudah dibekukan dalam dua jenis iaitu durian berbiji dan tanpa biji melibatkan dua spesies iaitu durian kampung dan durian klon dari Pahang, Johor dan Perak,” katanya. Sementara itu, program televisyen “Agro Xplorasi” yang mula bersiaran sejak 26 Feb lepas melabuhkan tirainya dengan tayangan episod terakhir pada 30 April
lepas.

Program terbitan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan kerjasama TV3 diterbitkan sebanyak 10 episod dan berjaya menarik purata penonton kira-kira 500,000 orang setiap minggu.