PBT tiada kuasa pantau kawasan cerun rumah anak yatim

Image courtesy of China Press

Kerajaan Negeri Selangor melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak mempunyai kuasa untuk memantau kawasan cerun Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Ronnie Liu Tian Khiew, berkata, kawasan tersebut luar kawalan operasi PBT dan terletak dibawah bidang kuasa kerajaan pusat menerusi Kementerian luar bandar dan wilayah.

“Kita tidak mahu salahkan sesiapa, kerana rumah ini telah dibina 10 tahun dahulu dan ketika itu tiada sebarang keperluan untuk membuat permohonan kepada PBT.

“Kawasan tersebut juga adalah cerun ketagori 4 yang tidak sesuai dibina sebarang bangunan dan difahamkan mereka bina rumah ini secara senyap,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, hari ini.

Menurutnya, jumlah yang dibenarkan untuk membina rumah adalah 35 darjah sebaliknya kawasan cerun tersebut rumah anak yatim itu adalah 80 darjah.

Katanya, Kerajaan Negeri berusaha untuk mengenalpasti kawasan cerun merbahaya dengan lebih awal bagi mengelak perkara tidak dingini berlaku.

Oleh yang demikian menurutnya, kesemua PBT diarahkan untuk menubuhkan satu bahagian cerun dalam masa sebulan bagi memantau kesemua kawasan di Negeri Selangor.

“Setakad ini hanya Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sahaja mempunyai bahagian cerun, unit ini berfungsi untuk memantau kawasan dan meluluskan projek dikawasan tersebut.

“Unit cerun MPAJ ini akan membuat pemantauan setiap dua bulan dan kini terdapat 28 kawasan merbahaya telah dikenalpasti,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga telah menetapkan kawasan cerun ketagori 3 tidak boleh membina sebarang bangunan melainkan mendapat kelulusan dari Jawatankuasa Perancang Bandar dan Desa.