Najib: Rumah anak-anak yatim akan dibina semula

Najib: Rumah anak-anak yatim akan dibina semula

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan bersedia memberi sumbangan bagi membina semula rumah anak-anak yatim yang musnah akibat kejadian tanah runtuh di Hulu Langat pada Sabtu lepas yang telah meragut 16 nyawa.

Image courtesy of China Press

 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan bersedia memberi sumbangan bagi membina semula rumah anak-anak yatim yang musnah akibat kejadian tanah runtuh di Hulu Langat pada Sabtu lepas yang telah meragut 16 nyawa.

Najib berkata kerajaan akan merundingkan perkara itu dengan pihak yang berkenaan selain akan memastikan rumah baru itu dibina di kawasan yang selamat.

“Kita akan tentukan banyak mana (sumbangan) dan dimana (akan dibina) tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian tanah runtuh itu di sini, Selasa.

Kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa yang menimbuskan 25 mangsa, telah meragut 16 nyawa manakala sembilan lagi terselamat.

Pada majlis itu, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor yang baru tiba dari Amerika Syarikat turut menyampaikan sumbangan kerajaan berjumlah RM10,000 kepada kesemua 16 waris mangsa yang terkorban dalam tragedi itu.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada mangsa yang cedera dalam kejadian itu dalam masa terdekat.

Selain kerajaan, Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) turut menghulurkan sumbangan berjumlah RM2,000 bagi setiap waris mangsa.

Prihatin dengan nasib yang menimpa rumah anak-anak yatim berkenaan, sumbangan sebanyak RM10,000 turut disampaikan oleh Badan Amal dan Kasih Negeri Selangor (Kasih) dan Yayasan Taqwa Majlis Islam Wilayah Persekutuan (RM42,000) kepada rumah kebajikan itu.