40% peminjam tekun gagal bayar hutang

40% peminjam tekun gagal bayar hutang

Sebanyak 40 peratus daripada 7,200 peminjam Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun) gagal membayar pinjaman sejak 10 tahun lepas.

Sebanyak 40 peratus daripada 7,200 peminjam Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun) gagal membayar pinjaman sejak 10 tahun lepas.

Pengarah Tekun Pulau Pinang Mohd Suhaimi Ismail berkata pengurusan tabung itu kini giat mengesan 2,880 pemimjam terbabit dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

Beliau berkata golongan peniaga bumiputera yang meminjam wang dari tabung itu harus sedar dengan tanggungjawab mereka untuk melunaskan hutang kerana bayaran hutang itu boleh dijadikan modal pusingan bagi membiayai peminjam lain.

“Mereka terlibat meminjam modal perniagaan antara RM500 hingga RM50,000 sejak tahun 2001 dan usaha giat dilakukan bagi mengesan mereka yang gagal membayar pinjaman berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Program Pembasmian Kemiskinan Kawasan Dewan Undangan Negeri Pinang Tunggal di sini hari ini.

Program itu dirasmikan Anggota Dewan Undangan Negeri Pinang Tunggal  Roslan Saidin dan turut hadir Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Mohd Radzi Mohd Hanafiah.

Pada program itu, Tekun turut memberi pinjaman sebanyak RM186,000 kepada 18 usahawan untuk memperbesarkan perniagaan masing-masing.

Mohd Suhaimi berkata sepanjang tempoh 10 tahun itu juga, Tekun memberi pinjaman sebanyak RM80 juta kepada usahawan pelbagai bidang iaitu peruncitan dan perdagangan perkhidmatan, pertanian, penternakan dan akuakultur, pembinaan,  pelancongan atau rekreasi, pendidikan dan pengangkutan di negeri ini.

– Bernama