Kenyataan: Gangguan bekalan air ekoran penyelenggaraan

Kenyataan: Gangguan bekalan air ekoran penyelenggaraan

Syabas telahpun meluluskan permohonan Puncak Niaga Sdn Bhd bagi menjalankan hentitugas Loji Pembersihan Air Sungai Langat untuk memberi laluan kepada kerja-kerja penyenggaraan utama, penggantian aset serta naik taraf Loji Pembersihan Air yang akan dijalankan pada 1 Jun 2011.

Berikutan kepesatan pembangunan dan juga permintaan pengguna terhadap pembekalan air bersih yang semakin meningkat di kawasan sekitar Wilayah Kuala Lumpur dan Hulu Langat, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (SYABAS) telahpun meluluskan permohonan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd bagi menjalankan hentitugas Loji Pembersihan Air (LPA) Sungai Langat untuk memberi laluan kepada kerja-kerja penyenggaraan utama, penggantian aset serta naik taraf Loji Pembersihan Air Sungai Langat yang akan dijalankan pada 1 Jun 2011.

Gangguan bekalan air berjadual ekoran kerja-kerja di LPA Sungai Langat ini adalah satu keperluan bagi menambahbaik loji-loji pembersihan air ini memandangkan loji air ini merupakan sumber bekalan utama kepada sebahagian kawasan Kuala Lumpur dan Hulu Langat yang berpenduduk padat.

Pada masa ini, pengeluaran Loji Pembersihan Air Sungai Langat sudah lama beroperasi pada tahap jauh melebihi kapasiti rekabentuknya untuk menampung keperluan dan permintaan pengguna yang kian hari meningkat. Menurut rekod, pengeluaran LPA Sungai Langat kini beroperasi pada tahap 450 Juta Liter Sehari (JLH), iaitu 17% lebih tinggi berbanding pengeluaran rekabentuknya, iaitu sebanyak 386 JLH.

Kerja- kerja penyenggaraan dan penambahbaikan yang akan dijalankan ini adalah penting bagi memastikan operasi loji pada tahap pengeluaran yang tinggi ini dapat diteruskan.

Untuk makluman, pihak Puncak Niaga (M) Sdn Bhd telahpun membuat permohonan untuk menjalankan kerja-kerja ini kepada pihak SYABAS sejak bulan April 2010. Walau bagaimanapun, pihak SYABAS terpaksa mengambil keputusan untuk menundakan permohonan tersebut sehingga ke 1 Jun 2011 memandangkan hentitugas loji pembersihan
air tersebut melibatkan gangguan bekalan air secara besar-besaran yang menjejaskan sekitar 158,000 akaun ataupun lebih setengah juta pengguna di dua buah wilayah utama SYABAS iaitu Wilayah Kuala Lumpur dan Hulu Langat.

See also  Air Itam Dam low on water, PBAPP urges conservation 

Sekiranya kerja-kerja yang dicadangkan tidak dilaksanakan, ianya mungkin boleh menyebabkan kerosakan dan seterusnya berlaku hentitugas loji secara tidak berjadual yang akan mengakibatkan gangguan bekalan air kepada para pengguna di Wilayah Kuala Lumpur dan Hulu Langat.

Pihak SYABAS amat memandang serius hentitugas Loji Pembersihan Air Sungai Langat ini yang akan menyebabkan gangguan bekalan air selama 16 jam ini. Bagi kebaikan bersama, pihak SYABAS telah memastikan bahawa segala prosidur permohonan kelulusan dan penyediaan hentitugas tersebut dijalankan mengikut Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) yang telah ditetapkan.

Di antaranya pihak SYABAS terlebih dahulu akan membuat lawatan tapak bagi memastikan persediaan yang mencukupi dilaksanakan sebelum kerja-kerja penyenggaraan dan penambahbaikan dijalankan.

Memandangkan jumlah kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air berjadual ini adalah besar, SYABAS akan berusaha untuk menyalurkan air daripada LPA Sunga Semenyih dan LPA Sungai Selangor bagi membekalkan air ke kawasan-kawasan tersebut yang menerima bekalan air daripada LPA Sungai Langat.

Namun demikian, disebabkan rezab kapasiti dan kapasiti saluran utama daripada kedua-dua loji ini adaah terhad, maka
ianya tidak dapat membantu dengan berkesan dalam senario ini. Walau bagaimanapun, bagi memberi perkhidmatan yang terbaik kepada para pengguna, pihak SYABAS juga telah menyediakan sebanyak 42 buah lori tangki untuk bersiap sedia bergerak ke kawasan yang memerlukan bantuan bekalan air kecemasan pada bila-bila masa sepanjang gangguan
bekalan air berjadual air ini berlaku.

See also  Air Itam Dam low on water, PBAPP urges conservation 

Selain itu, pihak SYABAS juga turut memastikan gangguan bekalan air berjadual ini tersebut dihebahkan kepada umum sekurang-kurangnya tujuh (7) hari sebelum gangguan mengikut Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) dan Piagam Pelanggan yang ditetapkan supaya para pengguna boleh membuat persediaan awal menghadapi gangguan bekalan air.

Selain itu, Pusat Perkhidmatan Pelanggan SYABAS iaitu PUSPEL menerusi Unit YAKIN (Unit Kerjasama Informasi Pelanggan) dan ICU (Unit Pelanggan Industri) turut menghebahkan gangguan tersebut kepada orang ramai melalui semua saluran yang ada termasuk SMS, Twitter dan Facebook.

Sehubungan itu, SYABAS ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua pengguna supaya menggunakan air secara berhemah. Para pengguna juga dinasihatkan menyimpan bekalan air secukupnya sepanjang gangguan bekalan air ini selain bersabar kerana kesulitan masa kini adalah bagi kemudahan masa depan.

Para pengguna yang mempunyai sebarang pertanyaan atau aduan berhubung bekalan air disarankan untuk menghubungi terus talian bebas tol PUSPEL iaitu 1- 800 – 88 – 5252 yang beroperasi selama 24 jam sehari atau SMS ke 39222 dengan menaip: PUSPEL<jarak><aduan/pertanyaan> untuk tindakan segera dilaksanakan oleh pihak SYABAS.

Selain itu, para pengguna juga boleh melayari laman sesawang Twitter dengan menaip www.twitter.com/puspel serta membuat carian ‘puspel syabas’ di Facebook.