Pemimpin masyarakat diminta pantau keselamatan di ESSZONE

SEMPORNA – Pemimpin masyarakat perlu memainkan peranan menjadi mata dan telinga untuk menyampaikan maklumat sekiranya terdapat anasir-anasir yang cuba menggugat keselamatan Negara.

Ramli Marhaban DUN Bugaya Semporna ESSZONE ESSCOM

Pemimpin masyarakat khususnya Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kampung Dun Bugaya diminta segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika mengetahui kehadiran pendatang tanpa izin(PTI) atau orang mencurigakan di kawasan masing-masing.

Pembantu Menteri Kewangan Datuk Ramlee Marhaban berkata ,kerjasama ketua-ketua kampung atau pemimpin masyarakat amat penting agar pihak keselamatan dapat mengambil tindakan wajar khususnya di perkampungan pesisiran pantai dan pulau-pulau di kawasan ESSZONE.

Beliau tidak mahu ada segelintir pemimpin masyarakat leka dan terlepas pandang dalam hal ini.

“Saya mahu mereka menjadi mata dan telinga kerajaan untuk menyalurkan apa sahaja maklumat khususnya yang berkaitan dengan kehadiran pendatang tanpa izin atau kemasukan orang tertentu yang mencurigakan di kawasan mereka,” kata Ramlee

Ramlee berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin masyarakat dan ketua kampung pada majlis penyampaian sumbangan raya kepada 102 orang pemimpin masyarakat dalam Dun Bugaya di sini.

Ramli Marhaban DUN Bugaya Semporna ESSZONE ESSCOM 1

Sehubungan itu, Ramlee yang juga Adun Bugaya, menggesa pemimpin masyarakat turun kebawah memberi penerangan kepada penduduk kampung yang tinggal di sekitar perairan pantai timur Sabah agar mematuhi arahan perintah berkurung yang ditetapkan pihak berkuasa dalam memastikan tindakan mengawal keselamatan di kawasan tersebut berjalan lancar.

Beliau turut menasihati penduduk terbabit agar mendapatkan maklumat sahih daripada pihak keselamatan berhubung pelaksanaan perintah terbabit.

“Pemimpin masyarakat juga perlu memainkan peranan menjadi mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan maklumat sekiranya terdapat anasir-anasir yang cuba menggugat kestabilan keselamatan Negara,” ujar beliau lagi.

Gary Louis Supi