Pemandu lori dituduh seludup Gudang Garam

Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini terhadap tuduhan mengangkut 15,200 kartonrokok kretek seludup yang dianggarkan bernilai RM255,360 Isnin lepas.

Leaw Chong Woei, 41, yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan, didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 4.30 pagi di Kampung Bahagia, Jalan Kuala Terengganu-Jerteh, Permaisuri.

Dia didakwa mengangkut 11,200 karton rokok jenis Gudang Garam Surya, 2,900 karton rokok Gudang Garam Surya (Hijau) dan 1,100 karton rokok Gudang Garam Nusantara (Merah).

Leaw didakwa mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum menurut Seksyen 135 (iii)(aa) akta yang sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tidak lebih tiga tahun atau denda tidak kurang 10 kali nilai barang kes dan tidak lebih 20 kali nilai barang kes, atau kedua-duanya sekali.

Jumlah minimum denda 10 kali nilai barangan ialah RM2,553,600 dan denda maksimum 20 kali ganda nilai barang bagi kes ini ialah sebanyak RM5,107,200.

Majistret Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri membenarkan tertuduh diikat jaminRM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Kastam Mohd Fadil Muhamad Yunus.

– Bernama