Terengganu jual perniagaan ayam yang mengalami kerugian RM5 juta

TDM Bhd, sebuah unit Kerajaan Negeri Terengganu, berada di peringkat akhir proses penjualan perniagaan ayamnya, TD Poultry Sdn Bhd, yang mengalami kerugian, kepada Vision Poultry Sdn Bhd dengan harga RM4 juta tunai.

Urusan penjualan itu dijangka selesai dalam dua hingga tiga minggu akan datang dan bayaran RM4 juta itu tidak termasuk hutangnya, yang dikatakan berjumlah kira-kira RM5 juta.

“Di bawah perjanjian jualan ini, kami meminta syarikat itu agar tidak menjual asetnya atau memberhentikan pekerja dalam dua tahun akan datang ini,” kata Pengerusinya, Roslan Awang, kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu hari ini.

Roslan berkata di bawah perjanjian itu juga, Vision Poultry yang berpangkalan di Terengganu dikehendaki mematuhi semua syarat yang dipersetujui dengan penternak memandangkan perniagaan itu dikendalikan oleh TDM.

“Semasa kami memulakan perniagaan pada 1997, kami hanya meraih keuntunganpada 2009 iaitu sebanyak kira-kira RM800,000.

Jadi, kami berpendapat kami perlu menjualnya kerana kami dapati ia tidak selaras dengan perniagaan teras kami, dan kami kekurangan kepakaran,” jelasnya.

– Bernama