Pukul adik ipar sampai mati, dipenjara 15 tahun

Pukul adik ipar sampai mati, dipenjara 15 tahun

Seorang peniaga terpaksa meringkuk lebihlama dalam penjara apabila Mahkamah Rayuan di sini menambah hukuman penjara terhadapnya kepada 15 tahun berbanding 11 tahun sebelum ini kerana menyebabkan kematian adik iparnya, hampir lima tahun lalu.

Seorang peniaga terpaksa meringkuk lebihlama dalam penjara apabila Mahkamah Rayuan di sini menambah hukuman penjara terhadapnya kepada 15 tahun berbanding 11 tahun sebelum ini kerana menyebabkan kematian adik iparnya, hampir lima tahun lalu.

Hakim Mahkamah Rayuan Zaleha Zahari, yang mempengerusikan panel tiga hakim, berkata panel tersebut dipujuk oleh hujahan Timbalan Pendakwa Raya,V. Shoba bahawa hukuman terhadap Muhammad Isa Raja Abdullah tidak memadai sehingga memerlukan campur tangan mahkamah tersebut.

Panel tersebut, yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan Clement Allan Skinner dan Hakim Mahkamah Tinggi Abdul Aziz Abdul Rahim, sebulat suara membenarkan rayuan pendakwaan untuk menambah hukuman terhadap Muhammad Isa. Mahkamah kemudian mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 Mei, 2009, menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun dan digantikan dengan hukuman penjara 15 tahun berkuat kuasa mulai tarikh tangkapan pada 4 Okt, 2006.

Muhammad Isa, 44, sebelum ini dituduh membunuh Wong Kian Lun @ MuhammadNasir Muhammad Zubir Wong, 19, antara pukul 5.30 petang dan 11.30 malam, 1 Sept, 2006 di halaman rumahnya di No. 2, Jalan 11, Taman Gombak, Selangor.

Bagaimanapun, di akhir kes pendakwaan, Mahkamah Tinggi meminda pertuduhan asal di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman gantung, kepada Seksyen 304 kanun sama yang memperuntukkan hukuman lebih rendah.

Muhammad Isa mengaku bersalah atas tuduhan pindaan.

Pendakwaan hari ini menarik balik rayuannya terhadap tuduhan pindaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan tetapi merayu terhadap hukuman penjara.

Muhammad Isa memukul adik iparnya dengan sebatang kayu berukuran 0.45 meter panjang sehingga mati apabila wang RM1,000 yang diberikan kepada mangsa untuk membayar wang ansuran kereta digunakan untuk berjudi.

Tertuduh diwakili oleh peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud.

– Bernama