Kenalpasti keupayaan dan pendidikan bentuk pelajar cemerlang

Mengenalpasti keupayaan dan kaedah pendidikan terbaik mampu membentuk kecemerlangan pelajar terutama dalam persekitaran global kini.

Penyelaras Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Muda, Ir Kamaruzzaman Johari berkata perkara itu jika diberi perhatian akan dapat melahirkan pelajar berkualiti dan berdaya saing kelak.

Menurutnya, para pelajar juga perlu menggunakan peluang yang ada untuk belajar bersungguh-sungguh untuk mengecapi kejayaan dalam pembelajaran mereka.

“Rakyat negara ini cukup bertuah kerana kerajaan sentiasa mengutamakan kualti pendidikan dan setiap individu berpeluang memajukan diri dengan terbinanya pelbagai institusi pendidikan termasuk sekolah di sini.

”Malah kerajaan juga menyediakan bantuan bagi yang kurang mampu dan penghargaan buat mereka yang berjaya dalam pelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar 2010 SAM Sultan Hishamuddin, Sungai Bertih, di sini.

Hadir sama ialah Pengetua, Serifah Mahaya Syed Dakian, Yang Di Pertua Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) Mohd Nahrawi Kayat,guru-guru dan pelajar yang terlibat.

Pada program itu, seramai 180 pelajar menerima sijil dan hadiah kecemerlangan yang terdiri daripada murid-murid Tingkatan 1, 2, 4, SMA, PMR dan SPM bagi tahun 2010.