Kompleks pentadbiran Islam baru bernilai RM500 juta untuk Putrajaya

Kompleks pentadbiran Islam baru bernilai RM500 juta untuk Putrajaya

Kompleks pentadbiran Islam akan menempatkan kesemua 13 agensi berkaitan pentadbiran Islam di bawah satu bumbung, kata Menteri Jamal Khir Baharom selepas menyampaikan RM1 juta kepada 26 badan bukan kerajaan (NGO) Islam di sini semalam

Masjid Putrajaya

Sebuah kompleks pentadbiran Islam bernilai RM500 juta akan dibina di sini bagi menempatkan kesemua 13 agensi kerajaan berkaitan pentadbiran Islam di bawah satu bumbung.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom berkata, kini kedudukan agensi tersebut agak berselerak di beberapa tempat di Kuala Lumpur dan Putrajaya menyebabkan kemampuan untuk menggerakkan aktiviti secara bersama tidak dapat dilaksanakan.

“Ada sektor tertentu, bahagian dan sel yang akan kekal berada di tempat yang lama tapi ada sektor yang akan berpindah ke sini terutama kumpulan pentadbiran atasan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan khas bernilai RM1 juta kepada 26 badan bukan kerajaan (NGO) Islam di sini semalam.

Jamil Khir berkata projek itu telah pun mendapatkan kelulusan Kabinet di mana kompleks yang terdiri daripada empat blok itu akan dibina dengan dana daripada Tabung Haji. Sebuah kawasan berdekatan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Presint 3 di sini telah dibeli untuk tujuan pembinaan itu dan proses pembinaan akan dimulakan tahun ini, katanya.

Mengenai sumbangan khas yang pertama kali diadakan itu, Jamil Khir berkata sumbangan itu diberikan bagi membantu NGO berkenaan dalam memperluaskan aktiviti dan program keagamaan mereka dalam bidang khusus masing-masing, selain untuk merapatkan hubungan erat antara kerajaan dan kumpulan berkenaan.

Beliau berkata peruntukan itu dibahagikan berdasarkan aktiviti, jumlah ahli dan program yang dilaksanakan dan bantuan itu diharap dapat dilaksanakan secara berterusan pada masa akan datang.

Antara yang menerima sumbangan tersebut ialah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Dewan Pemuda Masjid Malaysia, Pertubuhan Cina Islam Sabah (PCIS), Perhimpunan Belia Islam Sedunia (WAWY), Persatuan Pengasih Malaysia, Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Orang Pekak Malaysia, Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia, Pertubuhan Jemaah Islamiah Malaysia (JIM) dan Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (Gepima).

— Bernama