Perkhemahan Poni Kebangsaan di Terengganu

Perkhemahan Poni Kebangsaan 2011 akan diadakan di Terengganu melibatkan Kelab Poni seluruh negara mulai 5 Jun ini
bertempat di Terengganu Equestrian Resort (TER).

Setiausaha kerajaan Terengganu Mazlan Ngah berkata perkhemahan lima hari anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Ekuin Malaysia (MEM) dan Bahagian Sukan Kementerian Pelajaran itu akan dirasmikan Yang di-Pertuan Agong
Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 6 Jun.

“Perkhemahan itu akan mengumpul semua Kelab-kelab Poni di seluruh negara yang bernaung di bawah MEM, bertujuan antara lain memberi pendedahan dan pengalaman baru kepada anggota kelab tentang cara penjagaan kuda dan memelihara
perhubungan rapat dengan kuda.

“Ia juga bagi memperkembangkan kemahiran berpasukan, memberi peluang menunggang dalam persekitaran alam semula jadi, menggalak interaksi dan semangat berkumpulan dan melahirkan bakat mereka melalui aktiviti bengkel,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini, Mazlan berkata perkhemahan itu akan dihadiri 320 pelajar yang mewakili 15 Kelab Poni di seluruh negara serta 30 guru dan jurulatih.

Beliau berkata antara aktiviti lain sepanjang perkhemahan itu ialah program menunggang kuda, aktiviti bengkel, kegiatan berpasukan, latihan praktikal mengenai penjagaan kuda dan pemakanan serta program motivasi.

– Bernama