RM1.8 million worth of netbooks handed out in Papar

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini mengedarkan 1,844 komputer netbook kepada pelajar-pelajar yang layak dari enam sekolah.

Acara itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Rosnah Abd Rashid Shirlin yang juga Ahli Parlimen bagi Papar.

Beliau berkata 900 unit lagi akan dihantar kepada pelajar-pelajar di Kinarut kemudian nanti.

MCMC diwakili oleh Timbalan Pengarahnya bagi Sabah dan Labuan, Karmilla Amirkhan.

Kadar penembusan jalur lebar isi rumah di Sabah setakat April tahun ini ialah 26.4 peratus dan Rosnah yakin penembusan 30 peratus yang disasarkan akan dicapai menjelang akhir tahun.

“Saya harap MCMC akan terus melaksanakan projek-projek pembangunan ICT di Sabah untuk meningkatkan lagi liputan internet,” katanya.

Sementara itu, Nancy Leong, 16, dari Sekolah Menengah St Mary, Limbahau, berkata beliau akan menggunakan netbook itu untuk mengakses bahan-bahan rujukan yang berkaitan dengan pengajiannya.

Beliau yang merupakan anak seorang petani berkata beliau tidak akan menyalahgunakan keistimewaan yang diberikan tetapi akan menggunakan netbook itu untuk mencapai gred yang lebih tinggi.

Gurunya, Shariah Mahmood, berkata netbook itu akan mendorong pelajar-pelajar untuk berusaha lebih gigih, dan beliau berharap mereka akan berkongsi maklumat tambahan yang mereka peroleh melalui internet dengan rakan-rakan sekolah yang
lain.

Pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Benoni, Romario Roger, berkata jika beliau perlu mengakses internet semasa di rumah, beliau akan terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada kedua ibu bapanya.

“Itulah yang kami janjikan tadi,” katanya merujuk kepada ikrar yang dibuat oleh pelajar-pelajar itu sebelum menerima netbook tersebut.

– Bernama