Kapal bantuan M`sia ke Palestin diserang tentera laut Israel

Gambar hiasan

 

Sebuah kapal milik Malaysia yang membawa bantuan untuk Palestin telah dipintas dan diserang oleh tentera laut Israel pada 6.54 pagi waktu Jordan (kira-kira 11.54 pagi waktu Malaysia), menurut Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF).

Berikutan serangan itu, yang menurut PGPF berlaku dalam zon keselamatan Palestin, kapal itu telah dipaksa berlabuh di perairan Mesir kira-kira satu setengah batu nautika dari perairan Gaza.

Wakil PGPF, Matthias Chang berkata pasukan tentera laut Israel mengelilingi kapal bantuan itu dua kali dan melepaskan tembakan.

“Tiada seorang pun yang cedera,” katanya dalam kenyataan itu.

Seorang lagi aktivis dalam kapal itu, Derek Graham berkata beliau melihat kapal Israel datang dari satu hujung penjuru dan kapal Mesir datang dari penjuru yang lain.

Berlaku tembakan, katanya. “Semua orang selamat, tiada seorang pun yang cedera.”

Kapal itu berlepas dari pelabuhan Piraeus, Greece, pada Rabu.

Ia membawa muatan paip PVC sepanjang 7.5 kilometer untuk membantu memulihkan sistem pembetungan yang musnah di Gaza.

Mereka yang terbabit dalam misi bantuan kemanusiaan itu termasuk aktivis antiperang dan wartawan terdiri daripada tujuh rakyat Malaysia, dua rakyat Ireland, dua warganegara India dan seorang rakyat Kanada.

Inisiatif kemanusiaan itu dibiayai oleh PGPF yang diasaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.