Penduduk kampung belasah pencuri sampai mati

Penduduk kampung belasah pencuri sampai mati

Akibat mencuri besi, seorang penganggur dibelasah hingga mati oleh penduduk di Kampung Sungai Ular, Kuala Berang pada Khamis lalu.

Akibat mencuri besi, seorang penganggur dibelasah hingga mati oleh penduduk di Kampung Sungai Ular, Kuala Berang pada Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.00 pagi itu, pihak polis pada mulanya menerima laporan mengenai seorang lelaki yang telah ditangkap kerana dipercayai cuba mencuri besi di kampung berkenaan.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Negeri, ACP K Manoharan berkata bertindak atas laporan itu, polis telah pergi ke tempat kejadian dan menemui mangsa dalam keadaan separuh sedar dengan kesan kecederaan di kepala, muka dan mata selain turut ditemui beberapa batang besi berhampirannya.

“Lelaki yang berusia 31 tahun dan berasal dari Kampung Kuala Akob, Kuala Berang itu kemudian dibawa ke Hospital Hulu Terengganu sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk menerima rawatan lanjut.

“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.50 tengah malam akibat cedera parah dan polis kini menyiasat berhubung kes kematian lelaki itu kerana kita percaya dia telah dipukul oleh penduduk kampung sebelum mereka menghubungi polis,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut supaya menghubungi mana-mana balai polis yang berhampiran bagi membantu siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam satu kes berasingan, seorang lelaki warga Myanmar cedera parah dibelasah dengan tukul besi gara-gara menegur rakan serumahnya yang bermain gitar dalam kejadian pada 2.35 pagi Jumaat.

Sebelum itu, katanya, polis yang melakukan rondaan cegah jenayah telah terserempak dengan sekumpulan lima lelaki Myanmar di tepi jalan di Km 99 Jalan Jerangau Jabor, Dungun.

“Seorang daripada mereka didapati berada dalam keadaan separuh sedar dengan kesan kecederaan di beberapa anggota badan dan apabila ditanya mereka memberitahu bahawa rakan mereka itu telah terlibat dengan kemalangan jalanraya,” katanya.

Manoharan berkata mangsa yang berusia 31 tahun kemudian dihantar ke HospitalDaerah Dungun sebelum dikejarkan ke HSNZ dan dia kini masih dalam keadaan kritikal.

Beliau berkata polis kemudiannya yang curiga dengan kejadian itu telah bertindak menyerbu rumah kongsi yang didiami mangsa serta rakannya kira-kira pukul 9 pagi tadi dan menemui kesan darah di bawah katil serta tukul besi yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa. Ekoran itu polis telah bertindak menahan tiga rakan mangsa yang berumur 21hingga 29 dan masih memburu seorang lagi daripada mereka yang dipercayai telah melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh.

– Bernama