Pemandu lori disimbah asid, cedera parah

Seorang pemandu lori pasir cedera parah di simbah asid di rumahnya di Kampung Sentang, Utan Aji, awal hari ini, menurut Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Abdul Rahman Noordin.

Beliau berkata mangsa Muhamad Hanif Sunaid @ Shuib, 24 yang disimbah asid mengakibatkan beliau cedera parah di bahagian muka dan badannya.

Mangsa disimbah asid sebaik sahaja beliau membuka pintu rumahnya apabila terdengar pintu rumahnya diketuk, katanya.

“Mangsa tidak mengenali suspek berikutan keadaan gelap dan ketika kejadian mangsa tinggal seorang diri,” katanya ketika dihubungi.

Abdul Rahman berkata, mangsa yang dalam keadaan kesakitan meraung meminta bantuan dan jeritan mangsa didengari oleh jiran dan membawanya ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk menerima rawatan namun mangsa kemudianya dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

“Kami masih tidak dapat mengesan jenis asid yang digunakan tetapi mangsa mengalami kecederaan 50 peratus,” katanya.

Abdul Rahman berkata motif kejadian masih dalam siasatan namun tidak menolak kemungkin disebabkan cemburu atau dendam berikutan mangsa pernah menjalin hubungan dengan seorang gadis berusia 29 tahun tetapi hubungan mereka terputus baru-baru ini.

Polis masih menjalankan siasatan bagi mengesan dua suspek termasuk lelaki  yang menyimbah asid itu Mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

– Bernama