Lapan kes keracunan di PLKN dalam tiga bulan

Lapan kes keracunan di PLKN dalam tiga bulan

Sebanyak lapan kes keracunan dicatatkan di kem-kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) seluruh negara bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Sebanyak lapan kes keracunan dicatatkan di kem-kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) seluruh negara bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata ia merupakan satu peningkatan jika dibandingkan dengan tempoh sama tahun lalu, yang hanya mencatatkan tiga kes.

“Bagaimanapun ini tidak bermakna kes-kes ini melibatkan jumlah peserta yang ramai, kadangkala hanya melibatkan dua atau tiga peserta sahaja,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Buku Panduan Pemakanan dan Keselamatan Makanan di Kem-Kem PLKN hari ini.

Mengulas tentang isu tersebut, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Abdul Hadi Awang Kechil berkata pengusaha-pengusaha kem yang mempunyai kes keracunan makanan untuk kali pertama, walaupun ia hanya melibatkan tiga pelatih, akan dikenakan pemotongan bayaran sajian makanan sehari, yang secara puratanya berjumlah RM8,000.

Beliau berkata jika kes keracunan didapati berlaku untuk kali kedua, pengusaha tersebut akan dikenakan pemotongan bayaran sajian makanan untuk tiga hari manakala jika kes itu berulang lagi pengusaha tersebut bakal berhadapan tindakan sehingga membawa kepada penutupan kem tersebut.

“Kerana tindakan tegas inilah pengusaha-pengusaha kem ini cukup prihatin dalam memastikan isu keracunan makanan ini tidak timbul,” katanya.

Abdul Hadi berkata kes-kes keracunan makanan juga dijangka dapat dielakkan apabila pengusaha-pengusaha 82 kem PLKN seluruh negara diwajib menggunakan Buku Panduan Pemakanan dan Keselamatan Makanan di Kem-Kem PLKN itu mulai sesi akan
datang yang bermula Ahad ini.

Beliau berkata buku setebal 480 muka surat itu disediakan bagi memastikan makanan yang dihidangkan untuk pelatih-pelatihtersebut selamat, berkhasiat dan seimbang berdasarkan pengambilan nutrien yang dicadangkan untuk remaja Malaysia.

Katanya, ia turut memuatkan tatacara pengurusan kompleks sajian, pengurusan keselamatan dan kualiti makanan, pengurusan pemakanan sihat dan pemantauan berkala kompleks sajian secara kendiri, di mana pegawai jabatan akan turut memantau bagi memastikan ia dipatuhi sepenuhnya oleh pengusaha kem.

“Kumpulan pelatih ini juga dijangka menjadi pemangkin kepada pembudayaan cara pemakanan yang sihat di mana mereka di kem-kem ini akan menyebarkan pengalaman mereka kepada keluarga dan masyarakat apabila pulang setelah tamat kursus nanti.

“Setiap tahun 140,000 rakyat Malaysia akan dilatih di kem-kem ini, iaitu 25 peratus daripada mereka yang lahir pada tahun tersebut, jika mereka ini balik ke rumah dan amalkan apa yang mereka amalkan di sini, makan budaya ini boleh meresap dalam masyarakat,” katanya.

– Bernama