Hamisa Samat: Golongan belia perlu sedar harga diri mereka

Hamisa Samat: Golongan belia perlu sedar harga diri mereka

Penglibatan belia dengan pelbagai gejala sosial seperti penagihan najis dadah dan merempit motosikal di jalan raya wajar dihindarkan kerana mereka adalah aset penting kepada negara.

Golongan belia diingatkan supaya jangan hanya memenuhi masa muda dengan bersuka ria sebaliknya mereka perlu tahu menghargai diri sendiri sebagai aset penting terhadap masa depan negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu, Hamisa Samat berkata golongan tersebut perlu mempunyai motivasi dan memberi tumpuan pada kemahiran hidup bagi menjamin masa depan mereka lebih terjamin.

Beliau berkata penglibatan belia dengan pelbagai gejala sosial seperti penagihan najis dadah dan merempit motosikal di jalan raya wajar dihindarkan kerana mereka adalah aset penting kepada negara.

Katanya, golongan belia adalah merupakan aset modal insan negara yang tidak ternilai dan tingkah laku serta corak pemikiran mereka hari ini akan menentukan hala tuju negara di masa depan.

“Usaha-usaha membangunkan belia bukanlah suatu usaha yang mudah tetapi memerlukan komitmen dan pemerhatian yang menyeluruh serta penggemblengan semua sumber yang ada.

“Ini kerana bilangan belia bukanlah kecil tetapi sebaliknya mewakili 42.0% daripada keseluruhan populasi penduduk di negara ini. Dengan bilangan populasi yang besar ini sudah tentulah, satu mekanisme pemantauan sosial dan pencegahan gejala sosial di kalangan belia harus diwujudkan,” katanya.

See also  Sivasangari awarded special prize money for London Classic win

Beliau percaya melalui program generasi bebas jenayah ini mekanisme pencegahan perlakuan jenayah dan gejala sosial di kalangan belia akan dapat bentuk secara tidak langsung.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan gelanggang Futsal di Kampung Kalabakan, Tawau di sini kelmarin.

Jelas Hamisa golongan belia harus dipersiapkan minda mereka bagi menghadapi cabaran-cabaran mendatang terutamanya dalam aspek pengurusan silang budaya.

“Realiti kini menunjukkan bahawa kebanyakan masalah sosial mahupun jenayah yang dilakukan oleh belia disebabkan terdedah dan terpengaruh dengan unsur-unsur budaya negatif yang begitu terasing kepada mereka dan juga tidak sesuai diterima dalam kondisi masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya,

Jelas beliau belia adalah warga paling penting dalam proses pembinaan negara, mereka mengasaskan aspirasi, mereka mengisi aspirasi tersebut dan merekalah yang berhak menikmati hasilnya apabila mereka dewasa kelak.

“Usaha membangunkan belia perlu diurus dengan ikhlas, cekap dan kebijaksanaan. Saya melihat untuk menghindarkan belia daripada perlakuan jenayah, belia perlu dipersiapkan dengan pelbagai bidang-bidang kemahiran sama ada yang bersifat teknikal mahupun sosial seperti aspek budaya, pendidikan, kemahiran, pembangunan sikap, pembangunan ekonomi, kesihatan, keselamatan dan kesejagatan.

See also  Kuching set to host inaugural international pickleball tournament

 

“Warga belia mestilah diletakkan di bawah persekitaran yang mempunyai peluang yang cukup untuk menzahirkan potensi tertinggi mereka supaya boleh menyumbang dengan produktif kepada kemajuan dan kemakmuran negara,” tambahnya

Bagi mencapai aspirasi pembentukan generasi bebas jenayah Hamisa menegaskan bahawa warga belia masa kini perlu sentiasa didedahkan dengan penerapan sejarah. Selain itu, perjuangan bangsa dan nilai patriotisme dan nasionalisme hendaklah menjadi asas kepada sebarang perancangan dan tindakan pembangunan belia di negara ini.

Jelas beliau lagi, ibu bapa perlu berperanan bagi meningkatkan pemahaman anak-anak tentang moral yang baik dan tanggungjawab mereka terhadap keluarga, bangsa dan negara. Nilai-nilai murni kekeluargaan seperti kesopanan, pertuturan dan adab serta kelakuan yang baik hendaklah sentiasa diterapkan kepada anak-anak demi menjamin kesejahteraan dan keselamatan keluarga

 

 

 

Gary Louis Supi