Alam Flora hormat keputusan kerajaan Selangor

Alam Flora hormat keputusan kerajaan Selangor

Alam Flora menghormati keputusann kerajaan Selangor untuk mengambil alih perkhidmatan pembersihan dan kutipan sampah di negeri itu seperti yang telah diputuskan.

Alam Flora Sdn Bhd menghormati keputusann kerajaan Selangor untuk mengambil alih perkhidmatan pembersihan dan kutipan sampah di negeri itu seperti yang telah diputuskan pada Ogos dan Oktober lepas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Zain Hassan berkata kerajaan Selangor telah membuat keputusan untuk mengambil alih kerja pembersihan berkuatkuasa 1 Ogos manakala pada 16 Okt lepas memutuskan untuk turut mengambil alih perkhidmatan kutipan sampah di negeri itu.

“Kami percaya dengan keputusan ini, kerajaan negeri telah menimbang semua faktor yang terlibat termasuk keupayaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengendalikan perkhidmatan itu, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Exco Selangor Ronnie Liu dalam sebuah akhbar hari ini bahawa kerajaan negeri itu terpaksa mengambil alih tugas itu kerana syarikat berkenaan enggan meneruskan perkhidmatan mereka.

Mohd Zain berkata Alam Flora memulakan perkhidmatan pembersihan dan kutipan sampah di Selangor sejak 1997 membabitkan kerja-kerja pungutan sampah domestik, taman, sampah pukal, pembersihan longkang, pemotongan rumput dan menyapu jalan.

Beliau berkata ia selaras dengan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang menyatakan bahawa kedua-dua perkhidmatan pembersihan dan kutipan sampah dilakukan secara bersama.

Walaubagaimanapun, katanya Alam Flora telah memberikan perkhidmatan yang telus sepanjang penglibatan dan kerjasama antara syarikat itu dengan kerajaan Selangor serta PBT di negeri itu.

Mohd Zain berkata semua pihak yang terlibat juga telah bersetuju mengenai bagaimana dan bila penyelesaian penuh hutang yang tertunggak terhadap Alam Flora akan diselesaikan.

“Kami di Alam Flora berterima kasih kepada kerajaan Selangor dan semua penduduknya yang menyokong dan memberikan maklum balas sepanjang tempoh perkhidmatan kami,” katanya.

– Bernama