Expo Flora Klang bermula Disember ini

Expo Flora Klang bermula Disember ini

Ekspo Flora Klang yang akan diadakan di Taman Rakyat, Taman Seri Andalas, Klang terbuka kepada orang ramai bermula pukul 9 pagi sehingga 11 malam.

Majlis Perbandaran Klang (MPK) bakal mengadakan Ekspo Flora Klang 2011 bermula 2 hingga 4 Disember ini.

Ekspo Flora Klang yang akan diadakan di Taman Rakyat, Taman Seri Andalas, Klang terbuka kepada orang ramai bermula pukul 9 pagi sehingga 11 malam.

Pengarah Jabatan Taman dan Rekreasi MPK, Muhammad Hijaz Sanusi berkata, penganjuran Ekspo flora itu adalah julung kali diadakan dan bakal diketengahkan sebagai acara tahunan.

Beliau berkata, tema pesta flora yang dipilih ialah ‘Keindahan Alam Adalah Milik Bersama’ yang menggambarkan keindahan landskap dan kehijauan alam semulajadi di daerah ini. Semua pihak perlu memainkan peranan di dalam menjaga dan memelihara aset yang berharga ini.

“Objektif utama Ekspo Flora Klang 2011 untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan landskap dalam meningkatkan kualiti hidup.

“Selain itu, ekspo yang dianjurkan itu memberi kemudahan kepada orang ramai untuk membeli pokok-pokok buah, herba, produk fertigasi, baja organik, produk hiasan landskap dan pelbagai lagi dengan harga yang berpatutan,” katanya.

Muhammad Hijaz berkata, antara acara yang bakal menjadi tarikan pengunjung ialah pertandingan terrarium terbuka kepada semua dan pameran serta jualan binatang peliharaan (pet-animal) seperti arnab.

“Terarium adalah seni menanam tumbuhan atau pokok-pokok kecil di dalam bekas kaca bagi menggambarkan pelbagai jenis langkap yang berbeza seperti gurun, padang pasir, hutan hujan tropika dan sebagainya,” katanya.

“Terarium itu sendiri merupakan gambaran yang jelas mengenai fungsi dan peranan ekosistem yang tertutup dalam skala yang kecil dengan berlakunya proses fotosintesis, respirasi juga kitaran air,” jelasnya lagi.

Menurutnya, penyertaan Ekspo Flora Klang ini akan dibuka kepada semua peserta dari dalam mahu pun luar daerah Klang.

“Di samping itu, Ekspo ini juga dapat menambah maklumat orang ramai melalui pameran kitar semula, Local Agenda 21 (LA21), River Rangers serta pameran mengenai perancangan projek Sungai Klang.

Acara-acara sampingan lain yang turut dipertandingkan ialah pertandingan gubahan bunga, pertandingan pakaian beragam, kuiz, larian denai flora berkumpulan dan tidak ketinggalan pertandingan separuh akhir Band Idol.

Sebarang pertanyaan dan keterangan lanjut, sila hubungi Puan Halina Abdul Karim dari Jabatan Taman dan Rekreasi MPK di talian 03-33757871 atau Puan Roshayati Abdul Rahim dari Jabatan Korporat di talian MPK 03-33716044 samb. 1015.