Mahkamah Tinggi ketepi hukuman Majistret terhadap ahli parlimen Padang Serai

Mahkamah Tinggi ketepi hukuman Majistret terhadap ahli parlimen Padang Serai

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini mengenepikan hukuman terhadap anggota Parlimen Padang Serai N.Gobalakrishnan yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret terhadap beliau atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas pada 2002.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini mengenepikan hukuman terhadap anggota Parlimen Padang Serai N.Gobalakrishnan yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret terhadap beliau atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas pada 2002.

Hakim Datuk Zamani Abdul Wahab membuat keputusan itu setelah meneliti rayuan pihak pembelaan dan persetujuan daripada pihak pendakwaan untuk mengekalkan hukuman denda sebanyak RM1,000 terhadap Gobalakrishnan seperti yang terdapat pada peruntukan undang-undang ketika itu.

Zamani berkata mengikut peruntukan undang-undang denda maksimum bagi kesalahan menghalang tugas penjawat awam ialah RM1,000, oleh itu Mahkamah Majistret telah membuat kesilapan dan menjatuhkan hukuman.

Sehubungan itu mahkamah perlu menggantikan semula wang denda RM2,000 kepada Gobalakrishnan kerana beliau telah membayar kesemua jumlah denda sebanyak RM3,000 yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Majistret tahun lepas.

Gobalakrishnan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi di sini pada Mei tahun lepas selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dikenakan hukuman denda sebanyak RM3,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret kerana didapati bersalah atas dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas pada 2002.

Beliau dituduh dengan sengaja menghalang C/Insp V. Saravanan daripada menjalankan tugasnya di Jalan Utama kira-kira pukul 12.20, 29 Jan 2002 dan beliau ditahan selepas mempersoalkan tindakan polis menghalang kira-kira 30
penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) daripada menari ketika sambutan Thaipusam di George Town.

Gobalakrishnan diwakili peguam bela Saiful Ambar Abdullah Ambar manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang yang mewakili Suhaimi Ibrahim.

Terdahulu dalam proseding hari ini Zamani menasihatkan agar orang awam tidak kira sama ada mereka penyokong kerajaan atau sebaliknya perlu menghormati tugas dan tanggungjawab polis dalam menjaga keselamatan awam.

“Saya terkilan kerana masih ada segelintir individu yang mencari kesalahan polis, sedangkan ruang lingkup kehidupan manusia dari sejak lahir hingga mati semuanya memerlukan kerjasama daripada polis.

“Saya tidak mahu orang ramai mencemuh dan menentang polis sewenang-wenangnya, tidak kira siapa pun sama ada penyokong kerajaan atau sebaliknya perlu menghormati tugas polis, hargai jerih perih mereka menjalankan tugas demi keselamatan sejagat,” katanya.

Zamani turut menasihati Gobalakrishnan agar tidak mengulangi perbuatannya menghalang tugas penjawat awam.

Sementara itu Gobalakrishnan yang ditemui di luar mahkamah menyatakan rasa terima kasih dan meminta maaf atas kesilapan yang dilakukannya terhadap penjawat awam.

“Saya akan meneruskan tugas dan tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat selepas ini dan saya mohon maaf pada sesiapa (anggota polis) yang telah dikasari,” katanya.

– Bernama