Perkeso kompaun 12 majikan sebanyak RM8,000

Perkeso kompaun 12 majikan sebanyak RM8,000

Sebanyak 12 majikan di sini dikenakan kompaun keseluruhan RM8,000 oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Pahang hari ini, setelah gagal menunaikan tanggungjawab sosial kepada pekerja mereka.

Sebanyak 12 majikan di sini dikenakan kompaun keseluruhan RM8,000 oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Pahang hari ini, setelah gagal menunaikan tanggungjawab sosial kepada pekerja mereka.

Timbalan Ketua Eksekutif Perkeso Pahang, Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata selain tidak melakukan caruman, ada majikan terbabit dikesan tidak mendaftar dengan organisasi berkenaan.

“Dalam tempoh dua jam, kami telah melakukan pemeriksaan terhadap 144 majikan dan daripada jumlah itu, sebanyak 12 majikan dikenakan kompaun iaitu 10 majikan atas kesalahan gagal daftar perusahaan dan dua lagi gagal daftar pekerja,” katanya kepada pemberita selepas Ops Kesan, hari ini.

Bagaimanapun katanya, berdasarkan pemeriksaan, tahap kesedaran majikan berhubung tanggungjawab sosial pekerja mereka semakin meningkat.

Beliau berkata berdasarkan peratusan ketidakpatuhan majikan dalam Ops Kesan kali ini menunjukkan pengurangan kepada 8.33 peratus berbanding 12 peratus pada dua operasi yang dijalankan sebelum ini.

Katanya, program penerangan yang dilaksanakan Perkeso yang merupakan antara langkah proaktif bagi memberi bimbingan dan penerangan kepada majikan mengenai tanggungjawab mereka dilihat memberi kesan positif.

– Bernama