Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menyelar kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah (gambar atas), yang mencadangkan Datin Seri Wan Azizah Ismail menuntut cerai daripada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh akhbar Daily Express, kelmarin.
Laporan itu memetik Aminah sebagai berkata bahawa Azizah, yang berterusan hidup dalam keadaan tekanan akibat masalah yang menimpa suaminya, seharusnya bangkit mempertahankan maruahnya sebagai isteri.
“Sekiranya tuduhan (liwat dan video sex) adalah benar, dia tidak sepatutnya bersama-sama dengan dia. Suami tidak sukar dicari, tetapi sebagai seorang wanita, adalah penting bagi kita untuk mempunyai maruah,” kata Aminah.
Kenyataan ini telah mengundang rasa jengkel exco Wanita PKR Sabah, Bernediette Wong yang menyatakan Wan Azizah tidak perlu menuntut cerai daripada suaminya.
Bernediette berkata, “UMNO dan Barisan Nasional mahu menyingkirkan Anwar, mengapa pula Wan Azizah perlu menuntut cerai, jika suaminya menjadi mangsa politik kotor yang bertujuan untuk memalukan beliau dan keluarganya?”
Malahan katanya, mereka mengkagumi Wan Azizah yang masih setia bersama dengan suaminya dan berterusan memberikan sokongan kepada beliau walaupun dalam keadaan yang amat terdesak seperti sekarang.
Setakat ini menurut Bernediette, Wan Azizah dan orang awam sedar bahawa Anwar adalah mangsa tuduhan yang bermotifkan politik dan bertujuan untuk membunuh karier politik beliau.
“Kami menuntut Aminah untuk meminta maaf di atas kenyataan yang tidak bertanggungjawab ini. Wanita ini adalah alat untuk agenda yang tersembunyi. Aminah tidak berhak mencampuri urusan keluarga Wan Azizah,” kata Bernediatte.
Naib ketua Wanita PKR, Saukina Yussof pula menyatakan kekaguman terhadap Wan Azizah yang tetap berdiri teguh di belakang suaminya walaupun dalam keadaan yang tertekan.
Wan Azizah merupakan contoh terbaik bagi kaum wanita serta calon yang sesuai untuk Hari Ibu, kata Saukina.
“Ini adalah kerana apa yang dilaluinya sudah cukup banyak. Ketika suaminya di penjara dahulu, dia yang menjaga anak tanpa dibantu. Dan sekarang ini suaminya dituduh lagi. Tapi dia sabar. Namun kita tidak pernah dengar Azizah membuat apa-apa rungutan mengenai Anwar,” kata Saukina lagi sambil menyeru semua wanita di Malaysia agar mencontohi ketabahan Wan Azizah.
Antara kenyataan yang dikeluarkan Aminah adalah mengenai Wan Azizah yang dikatakan menjadi boneka kepada Anwar. Selain itu juga mengenai ahli-ahli PKR serta PAS yang mengetahui kebenaran disebalik kes liwat dan video seks tersebut.
Ketua Biro Pengaduan Awam PKR, bahagian Kota Kinabalu, Christina Liew, yang turut hadir pada sidang akhbar tersebut mengatakan bahawa, kenyataan-kenyataan tersebut sama sekali tidak boleh diterima.
“Walau apapun, kita akan tetap berdiri teguh di samping suami masing-masing,” ujar Christina dalam sidang akhbar yang diadakan di pejabatnya di Kota Kinabalu.