Dasamahavidya: Kritikan membina buat Astana Arts

JOHOR BAHRU – Dasamahavidya berkisar kepada sepuluh watak manifestasi Dewi Parashakti yang memanifestasikan spektrum kebatinan seorang wanita yang merangkumi aspek seperti keindahan, kemurkaan, kehancuran dan sebagainya

sumber: www.mytamilchannel.com
sumber: www.mytamilchannel.com

Pementasan drama tari Dasamahavidya oleh Astana Arts buat julung kali di Johor Bahru mengundang pelbagai persepsi daripada para penonton yang hadir menyaksikan persembahan mereka di Auditorium JOTIC pada hujung minggu lalu.

Walaupun rata-rata hadirin kagum dengan persembahan dinamik Dasamahavidyq,  terutamanya mereka yang pertama kali bersemuka dengan watak-watak Dasamahavidya yang dihias indah dengan tarian anggun menjadi juadah untuk mata dan telinga, namun ada yang berpendapat aspek kelembutan yang harus dimiliki dalam persembahan itu gagal untuk diterjemahkan dengan jelas kepada penonton.

Dasamahavidya berkisar kepada sepuluh watak manifestasi Dewi Parashakti: Kali, Tara, Thirupurasundari, Bhuveneswari, Bhairavi, Chinnamasta, Dhumavathi, Bagalamukhi,  Matangi, dan Kamala.

Ini bukan sahaja  watak-watak manifestasi malah merupakan spektrum kebatinan seorang wanita yang merangkumi aspek seperti keindahan, kemurkaan, kehancuran dan sebagainya.  Dalam persembahan ini, aspek-aspek kebatinan ini disulam dalam perwatakan pelakon-pelakon yang muncul dalam drama tari tersebut.

Secara luaran, drama tari kontemporari ini mengisah liku-liku yang dilalui oleh seorang graduan muda yang bercita cita tinggi bernama Sakthi (lakonan Reneetha Veeraya). Kehidupan Sakthi mula berubah sejak mencintai Arjun (lakonan Mohana Raj) yang berniat jahat terhadap Sakthi. Hasrat Arjun untuk membawa Shakti ke ranjang gagal apabila Trish (lakonan Swashna Moksha) membongkarkan niat buruk Arjun. Shakti yang patah hati bertemu dengan psikologi Dr.Chitra (lakonan Shamini Ramasamy).

See also  Five Arts Centre debuts Mortal Man with unpredictable twist

Malah Shakti dikejutkan lagi apabila dibawa bertemu dengan seorang lagi mangsa Arjun, Divya (lakonan Nazira Ibrahim). Kemuncak persembahan memaparkan Arjun yang masih berdendam dengan Shakti cuba memperkosanya tetapi kehadiran Kasturi (Kristina Vinokree) menyelamatkan Shakti dengan Kasturi terpaksa membunuh Arjun. Kasturi dihadapkan ke muka pengadilan dan dijatuhi hukuman penjara.

Cubaan pengarah seni Dasamahavidya, Ravi Shanker, untuk menerapkan aspek-aspek kebatinan sepuluh manifestasi dewi dalam watak- watak dalam drama tersebut harus dipuji walaupun tidak memperlihatkan kesan yang nyata.

Contoh yang jelas adalah watak Divya yang sinonim dengan Dewi Dhumavathi. Menurut Saradatilaka-Tantra dan Shaktisamgama-Tantra, Dewi Dhumavathi diibaratkan sebagai kuasa gelap yang membawa malapetaka seperti kebuluran, kematian, kecelakaan dan kehancuran kepada umat manusia. Tetapi watak Divya itu sendiri ditonjolkan lemah dan tidak bermaya mengadapi kecelakaan yang terjadi terhadapnya.

Selain itu, Dasamahavidya gagal mempamerkan aspek kelembutan yang dimiliki dalam setiap wanita. Walaupun mitos manifestasi dewi berlatarkan kisah memperjuangkan keadilan dan kebenaran menentang kedurjanaan dan kegelapan, Dasamahavidya perlu mencari ruang untuk menyelitkan aspek kelembutan wanita ini agar mereka tidak harus dilihat seperti pejuang tanpa belas kasihan di medan perang semata-mata.

See also  Five Arts Centre debuts Mortal Man with unpredictable twist

Tidak dapat dinafikan mitos-mitos ini diwujudkan untuk memberi pengajaran dan sebagai amaran kepada kaum Adam agar tidak mengambil kesempatan terhadap kaum Hawa yang lemah, tetapi kelembutan wanita inilah yang menjadikan mereka disayangi dan dicinta.

Berbincang mengenai manipulasi gender, satu-satunya watak lelaki (watak Arjun) dalam drama tari ini berjaya digambarkan sebagai penipu, perogol dan pembunuh. Adalah tidak adil untuk mengkategorikan semua lelaki dalam golongan ini memandangkan tidak ada satu neratif pun yang positif terhadap kaum lelaki dalam drama tari tesebut. Malah sejak dari awal drama, bapa Shakti diberi neratif negatif sebagai lelaki ganas dan pemabuk.

Jadi tidak keterlaluan di sini, sekiranya Ravi Shanker bercita-cita untuk membawa drama tari ini ke persada antarabangsa, ia perlu menganalisa kembali jalan cerita Dasamahavidya agar ia memberikan pertimbangan yang seimbang dan adil untuk semua aspek dengan makna yang lebih luas. Kelembutan seorang ibu dan kesayangan seorang ayah perlu diterapkan agar drama tari ini tidak dilihat sebagai satu persembahan pasrah kaum wanita yang tertindas semata-mata.

Saminathan