“Kerajaan yang saya sokong seumur hidup tidak mahu menolong saya. Inilah balasan yang saya terima kerana menyokong kerajaan Barisan Nasional,” dengan nada pasrah Krishnan Kasim Muthiah mengeluh.
Ini adalah antara keluhan mangsa projek perumahan terbengkalai Taman Perdana Raya di Karak, Pahang. Krishnan merupakan salah seorang pembeli rumah pangsapuri kos rendah yang dibina di tanah kerajaan.
“Apabila saya ketahui ini merupakan projek yang dibina di tanah kerajaan dan direstui oleh kerajaan negeri, tanpa berfikir banyak saya terus mengadai barangan kemas isteri saya untuk bayaran pendahuluan sepuluh peratus untuk rumah itu. Saya idamkan rumah ini akan bakal saya diami dalam tahun 2009 nanti.
Tapi, tengoklah keadaanya sekarang. Sudah menjadi sarang “mat gian” dan kaki botol. Malah adakalanya menjadi tempat maksiat untuk remaja melepaskan nafsu,” ujar Krishnan dengan perasaan yang penuh sebak.
Walaupun rumahnya itu siap dibina pada tahun 2009 tetapi pihak penguasa tempatan enggan meluluskan sijil kediaman (Certificate of Fitness) kerana terdapat 26 kesalahan yang dilakukan oleh pemaju, I Prima Development Sdn.Bhd, termasuklah ruangan bilik yang tidak seragam, bahan pembinaan yang tidak bermutu dan sistem talian air yang buruk.
Melihat keadaan ini, Krishnan bersama 29 pembeli yang lain merujuk bantuan guaman setelah pemaju enggan memperbetulkan kesalahan tersebut. Mereka telah dinasihatkan untuk mengarahkan bank menghentikan bayaran kepada pemaju.
Tetapi bak kata pepatah “nasi sudah menjadi bubur”, bank sudahpun meluluskan 95% bayaran kepada pemaju. Lantaran itu, beberapa pemilik rumah berhenti membayar ansuran pinjaman mereka kepada bank.
“Saya masih lagi menbayar ansuran kepada bank kerana saya kuatir bank akan mengambil tindakan undang-undang terhadap saya,” kata Krishnan lagi.
Dalam kebuntuan itu, pembeli rumah telah menjumpa dengan ADUN Sabai, Devendran, untuk menyelesaikan masalah mereka. Tetapi, ADUN tersebut terus mencuci tangannya daripada membantu pembeli. Lantaran itu, mereka meminta bantuan daripada Ahli Parlimen Bentong, Datuk Liow Tiong Lai.
Ekoran ini, dalam satu mesyuarat yang dibuat pada tahun 2011, Liow telah berjanji bagi pihak pemaju bahawa pemaju akan membayar ganti-rugi untuk pemilik-pemilik rumah walaupun pemaju tidak menghadiri mesyuarat tersebut.
“Tetapi lepas itu, usaha kami untuk menemui Datuk Liow tidak berjaya. Oleh kerana sudah ketandusan sumber, kami terus membawa perkara ini ke Putrajaya dengan harapan masalah ini akan diselesaikan secepat mungkin. Kami telah telah diberi jaminan kata putus akan dicapai dengan pemaju dalam masa yang terdekat. Tetapi sehingga sekarang tiada jawapan daripada Putrajaya sendiri,” kata Krishnan.
Krishnan yang menoreh pokok getah untuk menyara hidupnya berkata amat sukar untuknya untuk memohon pinjaman dari bank lain untuk membeli rumah lain. Malah ada di antara pembeli rumah sudah dikenakan tindakan muflis oleh mahkamah kerana gagal melangsaikan hutang mereka.
“Rumah yang saya diami sekarang pun kecil. Amat payah kalau ada saudara mara yang datang mengunjung. Terpaksa saya keluarkan perabut dari rumah untuk membolehkan kami tidur di ruang tamu. Teruk lagi kalau hujan, hancur perabut saya!” ujarnya lagi.
Krishnan terpaksa menanggung hutang bank dan tidak dapat menduduki rumah yang semakin buruk keadaanya. Tinjauan CJMY mendapati struktur bangunan ini rosak teruk dengan lantai tidak rata kerana tanah mendap akibat hakisan.
Krishnan bersama pembeli lain masih mengharapkan ada pihak yang tampil membantu mereka untuk mendapatkan pampasan daripada pemaju, I Prima Development Sdn Bhd dan syarikat-syarikat lain yang berkait dalam projek ini iaitu SP Smart Group Sdn Bhd (dikenali sebagai I Prima Development), Intiprima Management Sdn Bhd and Prima Holdings Sdn Bhd dan Puncak Properties Sdn Bhd (pemilik tanah).
Semua berita dari laman web ini adalah hasil sumbangan rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat. Jika anda berminat untuk lebih mengetahui mengenai kursus penulisan dari Citizen Journalist Malaysia atau ingin menyumbang artikel anda, sila (KLIK SINI)
________________________________
All news posted on this website are written by Malaysians from all walks of life who are trained by Citizen Journalist Malaysia. If you are passionate about writing, photography or video storytelling and would like to contribute your articles, photographs or videos of events that is happening in your community, please (CLICK HERE)
________________________________
For more updates, please like us on Facebook