Hanya kerana enggan berkahwin dengan teman lelakinya, seorang wanita berumur 23 tahun ditikam hingga mati di bilik sewaan
lelaki itu di Taman Mahkota, Jalan Stadium di sini, malam tadi.
Mayat Ratna Sufizzah Riyanti Omar ditemui pada pukul 11 malam dengan kesan tikaman di perut, dada dan tangan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata kejadian dikatakan berlaku ekoran wanita itu menolak lamaran teman lelakinya yang berusia 50 tahun menyebabkan lelaki terbabit berang dan bertindak luar kawalan.
“Suspek yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di sini sejak sebulan lepas menyerah diri di balai polis di sini kira-kira pukul 1.30 pagi dengan membawa pisau yang digunakan untuk membunuh mangsa setelah dinasihatkan
oleh majikannya.
“Suspek mengenali mangsa sejak lima hingga enam tahun lepas. Suspek telah mempunyai keluarga di Johor,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Difahamkan wanita yang berasal dari Kampung Balik Bukit, Tobiar, Pendang itu bekerja di sebuah kilang di Gurun selepas menamatkan pengajian dalam bidang Sains Nuklear di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ogos lepas.
Adzaman berkata lelaki itu akan direman bagi membantu siasatan. Kes akan di siasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.
Mayat wanita itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk bedah siasat.
Sementara itu, keluarga wanita berkenaan yang ditemui di bilik mayat HSB enggan ditemubual.
— BERNAMA
MKF KAY SN