Timbalan Ketua Menteri Sabah, Yahya Hussin kesal kerana kebanyakan golongan belia di Sabah yang berusia lebih 21 tahun dan
layak bergelar pengundi masih belum berdaftar sebagai pemilih.
Yahya, yang juga setiausaha Jawatankuasa Perhubungan UMNO Negeri, berkata maklum balas dari golongan belia di kawasan kubu kuat parti itu, mendapati mereka masih berpegang kepada kepercayaan bahawa mengundi merupakan tanggungjawab generasi tua atau ibu bapa masing-masing.
“Oleh itu golongan belia tidak berminat menyertai proses demokratik dalam memilih pemimpin mereka,” katanya semasa program komuniti di Kampung Tengah Padang, Petagas, semalam.
Katanya adalah sedih bahawa majoriti golongan belia nampak tidak sedar betapa pentingnya tanggungjawab mereka untuk mengundi.
Yahya, yang juga wakil rakyat Petagas, berkata golongan belia yang dimaksudkan adalah mereka yang berusia antara 21 dan 40 tahun dan 70 peratus daripada mereka adalah terdiri daripada penduduk daerah Putatan.
“Oleh itu, perlu ada usaha bersepadu bagi menarik golongan belia yang layak mengundi bagi memastikan kesinambungan parti dan penguasaan Barisan Nasional (BN) di Sabah,” katanya.
Menurutnya, pemuda di kawasan bandar dianggap lebih sedar peranan mereka sebagai pengundi dan pembangkang khususnya DAP berjaya menarik golongan itu sebagai anggota parti dan pengundi.
Oleh kerana itu, katanya, parti pembangkang mampu memenangi kerusi di kawasan bandar di Sarawak dan Semenanjung Malaysia kerana sokongan pengundi muda.
“Kerajaan tidak harus mengendahkan fakta itu dan UMNO sebagai tulang belakang kerajaan BN tidak mempunyai pilihan kecuali memberi perhatian kepada pengundi muda di negeri itu,” kata Yahya, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri.
Beliau menegaskan bahawa parti itu perlu memperkukuhkan diri dengan mendampingi generasi muda bagi mendengar pandangan mereka serta meningkatkan kesedaran di kalangan golongan itu betapa pentingnya kuasa mengundi mereka.
“Sekiranya gagal memikat hati golongan belia, pengaruh kuat UMNO mungkin pudar dan ini membolehkan pembangkang mengambil kesempatan,” jelasnya.
– Bernama