Surat: Rakyat didahulukan? Kebenaran terserlah

Surat: Rakyat didahulukan? Kebenaran terserlah

Saya ingin menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia khasnya pemilik kenderaan dan pengguna jalanraya kepada kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan Abdul Rahim Bakri yang disiarkan dalam akhbar theSun bertarikh 27/4/2011 di mukasurat 03.

Oleh ZULHAZMI SHARIFF,
Penasihat Undang-Undang
Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE)
27/04/2011

Saya ingin menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia khasnya pemilik kenderaan dan pengguna jalanraya kepada kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan Abdul Rahim Bakri yang disiarkan dalam akhbar theSun bertarikh 27/4/2011 di mukasurat 03.

Beliau mengulas pertanyaan wartawan tentang keputusan Kerajaan menyenarai hitam pemilik kenderaan hanya setelah kesalahan yang dilakukan dibawa dan dibuktikan di Mahkamah. Antaranya beliau menyebut seperti berikut :

“It’s not (being lax). It’s only fair; innocent until proven guilty – that is the
basic principle of law. Only when they are found to be guilty of their offences in
court, will they be blacklisted”

Menyorot kembali polisi kerajaan sebelum ini di mana kerajaan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menguatkuasakan kaedah senarai hitam pemilik-pemilik kenderaan dan pemegang lesen memandu iaitu dengan menghalang segala transaksi melibatkan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (Cukai Jalan) dan lesen memandu jika didapati pemilik kenderaan dan pemegang lesen mempunyai “perkara yang belum selesai” di dalam rekod JPJ dan PDRM.

Tidak pernah pada bila-bila masa semasa polisi ini dilaksanakan sebelum ini, para pemilik kenderaan dan pemegang lesen dibawa ke Mahkamah dan dibuktikan kesalahan mereka. Sebaliknya para pemilik kenderaan dan pemegang lesen terus dihalang transaksi dengan JPJ melainkan mereka membayar dahulu segala kompaun bagi setiap perkara yang terdapat di dalam rekod JPJ dan PDRM.

Ekoran tindakan tersebut, balai-balai polis, kaunter-kaunter pejabat pos dan JPJ dikerumuni para pemilik kenderaan dan pemegang lesen untuk membayar kompaun-kompaun kerana terdesak dan takut mereka akan disenarai hitam. Mereka terpaksa bersusah payah beratur, mengambil cuti dan ada juga yang terpaksa membuat pinjaman peribadi dengan bank untuk melangsaikan kompaun sedangkan semua kesalahan yang direkodkan di dalam sistem JPJ dan PDRM masih belum dibawa ke Mahkamah dan dibuktikan kesalahan.

Kementerian Pengangkutan dan JPJ bertegas mengatakan mereka mempunyai kuasa untuk melakukan senarai hitam tersebut melalui peruntukkan Seksyen 17(1)(d) dan Seksyen 29(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987).

Kami di Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) secara konsisten menyatakan bahawa tindakan tersebut adalah salah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan seperti yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuching pada tahun 2009 di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Pengarah Jabatan pengangkutan Jalan Negeri Sarawak.

Kami di KASE telah menyerahkan Memorandum Bantahan kepada Menteri Pengangkutan pada Ogos 2010 dan kemudiannya menyerahkan aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM). Walaubagaimana pun jawapan yang diterima pada waktu itu tetap sama iaitu Kerajaan mempunyai kuasa untuk menyenarai hitam walaupun kes Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan sebaliknya.

Desakan demi desakan dilakukan sehinggalah pada 23/3/2011 Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju menarikbalik perlaksanaan senarai hitam atas kesalahan yang dikeluarkan Notis Pol

170A atau lebih popularnya “Saman Ekor”. Alasan yang diberikan beliau ialah Jemaah Menteri mendapat nasihat daripada Jabatan Peguam Negara bahawa keputusan perlu ditangguhkan sehingga suatu kes rayuan diputuskan di Mahkamah.

Kami di KASE menyambut baik keputusan tersebut. Walaubagaimana pun keputusan tersebut dengan jelas, nyata dan terang menunjukkan bahawa Kerajaan telah mendera, menindas, menzalimi dan memaksa rakyat khasnya pemilik kenderaan dan pemegang lesen untuk membayar dan mengakui sesuatu perkara yang belum pasti dan belum diputuskan kesalahan mereka oleh Mahkamah.

Tindakan Kerajaan sebelum ini jelas membuktikan prinsip “innocent until proven guilty” (tidak bersalah melainkan dibuktikan salah) yang disebut oleh Timbalan Menteri itu tidak diendahkan. Kenapa setelah berjuta-juta duit rakyat diperas melalui tindakan senarai hitam baru sekarang hendak disebutkan prinsip “innocent until proven guilty”. Adakah semasa polisi ini dilaksanakan sebelum ini Kerajaan tidak pernah tahu prinsip “innocent until proven guilty”?

PDRM pula dengan bangganya mengumumkan bahawa sehingga Februari 2011 sejumlah lebih kurang RM496.7 juta telah berjaya dikutip. Kutipan ini hasil daripada perlaksanaan kaedah ugut dan paksa oleh Kerajaan selama ini. Kerajaan mengugut akan menghalang transaksi pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu jika kompaun tidak dijelaskan.

Hasil ugutan itu, para pemilik kenderaan dan pemegang lesen berpusu-pusu membanjiri balai polis, pejabat pos dan JPJ untuk membayar kompaun sedangkan kesalahan mereka belum dibuktikan. Inikah prinsip “innocent until proven guilty” yang dipegang oleh Kerajaan? Bayar dahulu – salah atau tidak bukan isunya? Rakyat Didahulukan! Adakah PDRM tidak perlu menggunapakai prinsip “innocent until proven guilty”? Adakah duit kompaun lebih penting daripada pembuktian kesalahan?

Keputusan menarikbalik senarai hitam juga dikatakan ekoran nasihat Jabatan Peguam Negara. Mahkamah Tinggi Kuching telah membuat keputusan pada tahun 2009 tetapi hanya pada Mac 2011 baru Jabatan Peguam Negara memberikan nasihat kepada Jemaah Menteri bahawa tindakan Kerajaan menyenarai hitam itu tidak betul. Negara amat malang mempunyai “penasihat” seperti
ini. Sudah berjuta-juta duit rakyat dikaut, sudah berapa ramai rakyat disusahkan baru Jabatan Peguam Negara memberikan nasihat bahawa tindakan Kerajaan tidak betul?

Kami di KASE ingin mendesak kepada Kerajaan untuk menjelaskan beberapa perkara.

Pertama, atas prinsip undang-undang apa Kerajaan berpendirian bahawa Kerajaan boleh menghalang transaksi sebelum ini jika sekarang ditarik balik atas prinsip “innocent until proven guilty”?

Kedua, siapa yang memberikan nasihat kepada Kerajaan untuk melaksanakan senarai hitam walau pun keputusan Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan bahawa tindakan itu salah?

Ketiga, jika sekarang ditarik balik kerana prinsip “innocent until proven guilty”, bagaimana status mereka yang telah membayar kompaun sedangkan mereka tidak pernah didapati salah oleh Mahkamah? Mereka membayar kerana ugutan senarai hitam oleh Kerajaan, bukannya mengaku kesalahan.

Akhirnya KASE mendesak Kerajaan melakukan perkara-perkara berikut :

a) Memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia khasnya para pemilik kenderaan dan pemegang lesen atas tindakan senarai hitam tanpa bukti sebelum ini.

b) Memulangkan segala bayaran kompaun yang telah dibuat oleh para pemilik kenderaan dan pemegang lesen akibat perlaksanaa kaedah senarai hitam sebelum ini.

c) Mengeluarkan rekod kesalahan yang tidak dibuktikan di Mahkamah daripada sistem PDRM dan JPJ melainkan semua kesalahan tersebut dibawa dan dibicarakan di
Mahkamah.

d) Menghapuskan semua saman-saman ekor dan perkara-perkara yang tidak dibuktikan kesalahan di Mahkamah daripada rekod JPJ dan PDRM.

Sekiranya tindakan ini tidak dilakukan, KASE berpendapat bahawa Kerajaan sememangnya tidak bertanggungjawab dan telah bertindak zalim kepada rakyat. Di mana slogan 1Malaysia

Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan? Kebenaran akhirnya terserlah.