Laluan Seremban – Labu akan ditutup buat sementara waktu untuk ujian percubaan dan pentauliahan sistem persemboyanan baru bagi laluan Seremban–Sungai Gadut dilaksanakan.
Perkhidmatan KTM Komuter bagi laluan Seremban–Labu akan ditutup sementara pada 16, 17 dan 23 April ini bermula 7 pagi hingga 11 malam.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan berkata penutupan itu dibuat bagi membolehkan ujian percubaan dan pentauliahan sistem persemboyanan baru bagi laluan Seremban–Sungai Gadut dilaksanakan.
Semasa penutupan laluan itu, semua perkhidmatan tren KTM Komuter dari Rawang akan ditamatkan di stesen Labu.
Bas perantaraan ulang-alik juga akan disediakan dari stesen Labu ke stesen Seremban dan dari stesen Seremban ke stesen Labu dengan kekerapan berdasarkan pada jadual waktu perkhidmatan KTM Komuter.
Pegawai serta kakitangan KTMB akan ditugaskan untuk memberi maklumat kepada penumpang dari semasa ke semasa bagi memastikan aliran pergerakan penumpang berjalan lancar.
KTMB berkata penutupan laluan itu tidak akan menjejaskan perkhidmatan KTM antara bandar dan perkhidmatan tren elektrik (ETS).
Orang ramai boleh mendapat keterangan lanjut dengan melayari www.ktmb.com.myatau hubungi pusat panggilan KTM Berhad di talian 1-300-88-5862.
— BERNAMA