Pilihanraya Sarawak: RM 70 juta untuk sekolah cina

Pilihanraya Sarawak: RM 70 juta untuk sekolah cina

Sebuah jawatankuasa akan dibentuk dan akan dianggotai oleh menteri berbangsa cina dari Sarawak dan Sabah untuk memastikan peruntukan RM 70 juta untuk sekolah cina dibelanja sebaik mungkin

Sebuah jawatankuasa, yang akan dianggotai Menteri berbangsa Cina dari Sarawak dan Sabah akan diwujudkan bagi menentukan bagaimana peruntukan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina diagihkan.

Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin berkata jawatankuasa itu akan memastikan peruntukan RM70 juta, yang diumumkan Perdana Menteri, NajibTun Razak, baru-baru ini dibelanjakan dengan sebaik mungkin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap pentingnya generasi muda mendapat pendidikan sempurna. Beliau berkata setiap tahun kerajaan membelanjakan RM1.8 bilion untuk membayar gaji guru SJK Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT).

“Sebab itu, sebahagian besar gaji dan perbelanjaan lain (sekolah-sekolah ini) ditanggung kerajaan pusat,” katanya pada majlis penyampaian cek bantuan modal SJKC dan Sekolah Conforming Negeri Sarawak di sini malam ini.

Terdapat 187 SJKC dan 10 Sekolah Menengah Conforming dengan 73,142 murid dan 4,872 guru di seluruh Sarawak. Muhyiddin berkata bagi tempoh 2009 sehingga 2010, sejumlah RM11.23 juta peruntukan pembangunan diagihkan kepada 101 SJKC seluruh Sarawak.

Selain itu, sejumlah RM14.06 juta diperuntukkan bagi mengurus sekolah berkenaan.

“Pada tahun ini, kerajaan pusat juga memberi peruntukan sebanyak RM34 juta bagi SJKC dengan RM20 juta untuk pembangunan manakala bakinya RM14 juta belanja mengurus,” katanya.

Beliau berkata selebihnya, akan diagihkan mengikut keperluan tahun ini dan tahun depan. Sejumlah RM9.85 juta daripada jumlah itu, dengan purata sebanyak RM50,000 bagi setiap sekolah telah disampaikan oleh Muhyiddin kepada wakil sekolah berkenaan pada majlis itu.

Muhyiddin turut memuji pencapaian keputusan peperiksaan awam sekolah-sekolah di Sibu yang menurutnya mencapai keputusan yang bagus.

— BERNAMA