Empat belas orang pelajar sekolah rendah dari Sungai Adang, Ulu Limbang tidak dapat pergi ke sekolah sejak mereka pulang untuk cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini.
Mereka yang menuntuk di Sekolah Rendah Kebangsaan Long Luping tidak dapat kembali ke asrama sekolah untuk meneruskan pelajaran mereka kerana keluarga mereka tidak mampu menyewa kenderaan persendirian untuk menghantar mereka.
Perjalanan dari Sungai Adang, Limbang ke Long Luping mengambil masa kira-kira 5 jam sekiranya mereka menaiki kenderaan pacuan empat roda. Oleh kerana ketiadaan jalan raya, mereka terpaksa menggunakan jalan yang dibuat untuk lori kayu balak.
Menurut Ketua Baru, 31, salah seorang daripada bapa kepada murid tersebut, dia terpaksa menunggu hampir 2 bulan untuk menghantar anaknya ke sekolah. Beliau juga tidak dapat menghantar mereka dengan menggunakan motorsikal kerana perjalanannya amat berbahaya dan akan mengambil lebih 12 jam.
“Saya berasa amat susah hati kerana terdapat murid-murid tahun enam ketinggalan jauh dalam pelajaran mereka dan mereka akan menduduki peperiksaan UPSR tahun ini,” ujar Ketua yang anaknya juga di dalam tahun enam.
Ketua juga menyatakan bahawa mereka terpaksa mengeluarkan sewa sebanyak RM600.00 untuk sehala perjalanan ke sekolah tersebut. Oleh kerana sewa tersebut terlalu mahal, ramai ibu-bapa tidak dapat menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
Menurut Ketua lagi, terdapat peruntukan untuk pengangkutan daripada Pejabat Daerah, walau bagaimanapun peruntukan tersebut tidak disalurkan terus kepada ibu-bapa murid-murid tersebut untuk menghantar mereka ke sekolah.
Sekolah Rendah Kebangsaan Long Luping adalah sekolah yang paling dekat untuk penduduk-penduduk kawasan Ulu Limbang. Sekolah ini dilengkapi dengan kemudahan asrama untuk pelajar-pelajar dari kawasan yang jauh.